Reagan dihidupkan kembali?

SIMI VALLEY, Amerika Syarikat, 11 Okt – Muzium Ronald Reagan di California telah mengembalikan kehidupan sebenar mendiang presiden dengan hologram canggih.

Ia memaparkan suaranya, ekspresi muka dan pergerakan tangan dalam satu projek yang menelan kos berjuta-juta dolar dan mengambil empat tahun untuk disiapkan.

Ia dilancarkan semalam di Perpustakaan dan Muzium Presiden Ronald Reagan di Simi Valley, berhampiran Los Angeles.

“Ia menakjubkan. Betul-betul menakjubkan. Sejujurnya kepada anda, ia adalah agak mengejutkan,” kata Joanne Drake, yang bekerja di Rumah Putih ketika penggal kedua Reagan pada tahun 1980 sebagai seorang pembantu dan jurucakap serta tinggal bersama Reagan sehingga kematian beliau.

Hologram mencipta semula tiga latar iaitu Reagan bercakap dari belakang kereta api ketika kempen 1984. Kedua, Reagan memakai pakaian menunggang kuda di ladangnya di California bersama isterinya Nancy. Manakala yang ketiga ketika beliau berada di Pejabat Oval.

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan telah dihidupkan semula dengan teknologi Hologram ketika satu sidang media pada 10 Oktober 2018 di Perpustakaan Presiden Ronald Reagan di Simi Valley, California. – AFP

“Ia akan rasa seolah-olah anda sedang berdiri di sana bersama beliau,” kata John Heubusch, pengarah eksekutif Yayasan dan Institut Presiden Ronald Reagan.

Teknologi canggih digunakan untuk mencipta imej 3D Reagan. Seorang pelakon dengan susuk badan yang sama dengan beliau dan yang mempelajari setiap gerak isyarat beliau digunakan untuk menyerupai badannya.

Perubahan wajah bergantung pada umur Reagan dalam latar tersebut. Model silikon digunakan untuk membentuknya.

“Ketika saya mengusahakannya selama beberapa tahun, saya asyik terasa mahu menyentuhnya,” kata Drake.

Suara yang kedengaran daripada hologram adalah Reagan sebenar, di mana kata-katanya diambil daripada ucapan dan temu bual, seterusnya dicantum bersama untuk mewujudkan teks setiap latar. – AFP