‘Reaksi terkejut Najib hanya drama’

KUALA LUMPUR, 22 OKT – Reaksi Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) yang terkejut apabila mengetahui wang berjumlah RM42 juta dimasukkan ke akaun peribadinya hanyalah satu ‘drama’, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk V.Sithambaram menyifatkan reaksi bekas perdana menteri itu sebagai berdrama kerana beliau tidak mengambil sebarang tindakan perundangan berhubung perkara itu.

Sithambaram berhujah demikian berhubung keterangan saksi pendakwaan ke-37, Pengarah Urusan Ihsan Perdana Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan saksi pendakwaan ke-49, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling bahawa Najib ‘terkejut’ apabila diberitahu seseorang telah memasukkan wang ke dalam akaun peribadinya.

“Tertuduh, jika beliau tidak bersalah berhubung wang RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaunnya ini, sepatutnya telah menyaman pihak bank kerana telah mendepositkan wang yang menyalahi undang-undang, memungkinkan akaunnya telah digunakan untuk pengubahan wang haram.

“Rasa terkejut yang dialami tertuduh selepas mengetahui wang RM42 juta dipindahkan ke dalam akaun peribadinya secara salah, sepatutnya diterjemah dengan membuat laporan polis untuk memperlihatkan kemarahannya terhadap wang yang bukan dalam pengetahuannnya itu.

“Tidak ada perdana menteri yang tidak mahu membuat laporan polis jika mengetahui mengenai transaksi itu,” katanya dalam hujahan di akhir kes pendakwaan. Bernama