Real, Atletico hampiri Barca

MADRID, 16 Dis – Jaringan Karim Benzema membawa Real Madrid dua mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Rayo Vallecano, awal pagi tadi.

Sementara itu, rakan senegara Benzema dari Perancis, Antoine Griezmann menyumbat dua gol untuk membantu Atletico Madrid menang 3-2 ke atas Real Valladolid, dan membawa kelab itu berkongsi jumlah pungutan mata dengan Barca.

Gol Benzema pada minit ke-13 sudah cukup untuk membawa Real ke tangga ketiga dengan 29 mata, dengan Barca yang mengumpul 31 mata boleh menjarakkan kembali kelebihan ketika berkunjung ke Levante, awal pagi esok.

Sevilla juga berpeluang untuk memintas Real dan berkongsi jumlah pungutan mata dengan Barca dan Atletico apabila mereka dijadual bertemu Girona, hari ini.

Rayo yang menghuni tangga kedua tercorot liga tetap tidak memberikan kemenangan mudah buat Real.

Bahkan, mereka hampir mencuri satu mata di laman lawan jika pertahanan, Sergio Ramos tidak menyelamatkan cubaan di garisan gol ketika Thibaut Courtois sudah dua kali tertewas.

Bintang Real, Luka Modric mempersembahkan trofi Ballon d’Or yang dimenanginya sebelum perlawanan di Santiago Bernabeu, tetapi selepas perlawanan tamat, peminat tampak tidak gembira dengan keputusan yang diraih. – AFP