MADRID, 10 MAC – Karim Benzema berkata Real Madrid menunjukkan mereka masih ‘bernyawa’ dengan melengkapkan kebangkitan dramatik untuk menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 3-1 sekali gus mara ke suku akhir Liga Juara-Juara, kelmarin.
Real ketinggalan 2-0 secara agregat apabila Kylian Mbappe meletakkan PSG di hadapan di Santiago Bernabeu tetapi Benzema menjaringkan hatrik yang menakjubkan pada separuh masa ke-dua, termasuk dua gol dalam masa dua minit, untuk membolehkan pasukannya mara.
“Setiap perlawanan kini adalah perlawanan akhir untuk kami dalam Liga Juara-Juara dan La Liga tetapi hari ini kami menunjukkan bahawa Real Madrid masih hidup,” kata Benzema selepas itu.
“Kami tahu PSG suka menguasai bola. Kami bermula dengan baik, kami cuba menjaringkan gol dan pada separuh masa kedua kami memenangi perlawanan dengan kekuatan mental kami,” tambah Benzema.
Pada usia 34 tahun, Benzema adalah pemain tertua yang menjaringkan hatrik dalam sejarah Liga Juara-Juara.
“Kami memenangi perlawanan yang sangat sukar, yang menjadi lebih rumit selepas gol Mbappe,” kata jurulatih Real, Carlo Ancelotti.
“Kami menjaringkan gol pertama dan dari situ segala-galanya berubah. Penyokong mendorong kami dan kami semakin percaya. Ia adalah malam yang menakjubkan.”
Dia menambah: “Kami menderita, tetapi kami bertahan. Pada separuh masa pertama sukar untuk mendapatkan kembali bola. Gol pertama datang dan dari situ keajaiban stadium ini muncul.
“Dalam 30 minit terakhir hanya terdapat satu pasukan di atas padang.”
Ancelotti juga memuji pemain gantian serta pengaruh Rodrygo dan Eduardo Camavinga.
“Mereka penting, mereka mengubah dinamik permainan. Rodrygo dan Camavinga mengubah permainan. Camavinga memberi kami lebih tenaga di bahagian tengah.
“Ia adalah malam yang ajaib,” tambahnya. – AFP