Tuesday, February 18, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Real, Barca berjuang hingga akhir musim

    MADRID, 15 Mei – Perebutan gelaran La Liga akan ditentukan sehingga hari terakhir musim ini selepas dua pasukan teratas Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona masing-masing menewaskan Sevilla dan Las Palmas, untuk terus berkongsi 87 mata.

    Real kekal menjadi pilihan kerana penyandang juara Eropah itu masih mempunyai baki dua perlawanan berbanding Barcelona, selepas berjaya membenam Sevilla 4-1.

    Bagaimanapun, Barca terus unggul di puncak berdasarkan kelebihan rekod pertemuan, dengan hatrik Neymar membantu mereka turut mencatat kemenangan 4-1 ke atas Las Palmas.

    Skuad kendalian Zinedine Zidane akan berkunjung ke Celta pada Khamis ini dan kemudiannya meneruskan perjalanan ke Malaga, manakala Barca menjadi tuan rumah kepada Eibar pada hari terakhir hujung minggu ini.

    Kekalahan Sevilla di Bernabeu turut menyaksikan mereka pasti menamatkan saingan La Liga di kedudukan keempat dan Atletico Madrid, yang terikat 1-1 di Real Betis, meraih tiket automatik ke Liga Juara-Juara selepas mengesahkan tempat ketiga.

    Bintang Real Madrid Cristiano Ronaldo (kanan) meraikan jaringannya bersama Sergio Ramos (kiri) ke atas Sevilla dalam aksi La Liga di Santiago Bernabeu. – AP
    Bintang Real Madrid Cristiano Ronaldo (kanan) meraikan jaringannya bersama Sergio Ramos (kiri) ke atas Sevilla dalam aksi La Liga di Santiago Bernabeu. – AP
    Penyerang Barcelona, Neymar (tengah) ketika menjaringkan gol menewaskan penjaga gol Las Palmas dalam kemenangan 4-1 Barca. – AFP
    Penyerang Barcelona, Neymar (tengah) ketika menjaringkan gol menewaskan penjaga gol Las Palmas dalam kemenangan 4-1 Barca. – AFP

    Dalam pertarungan bawahan La Liga, Sporting Gijon menyertai Granada dan Osasuna tersingkir daripada saingan utama Sepanyol itu meskipun mencatat kemenangan 1-0 di Eibar.

    “Ia adalah laluan yang panjang. Kami tahu memenangi liga di Sepanyol bukan mudah,” kata bos Madrid, Zinedine Zidane.

    “Setiap hari kami semakin dekat, kami perlu terus menang tetapi terdapat dua perlawanan lagi perlu diharungi dan kami perlu terus melakukannya.”

    Bagaimanapun, bos Barcelona, Luis Enrique masih menaruh harapan untuk memenangi gelaran La Liga, kerana dua daripada empat kekalahan Barca musim ini adalah kepada dua pasukan dalam baki perlawanan Real.

    “Kami masih mempunyai baki satu perlawanan dan objektif kami adalah memenanginya,” katanya kepada stesen TV Movistar.

    “Jika kami tewas (di sana) maka mana-mana pasukan pun boleh.”

    Sevilla kini hanya memenangi tiga daripada 13 perlawanan mereka apabila musim mereka berakhir dengan kekecewaan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda