MADRID, 13 MAC – Real Madrid mempamerkan aksi penuh semangat untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas menewaskan Atletico Madrid 4-2 menerusi penentuan penalti, meskipun tewas 1-0 selepas masa tambahan semalam.
Pasukan kendalian Diego Simeone menguasai sebahagian besar perlawanan,menentang juara 15 kali itu di Stadium Metropolitano. Namun, Madrid tidak pernah disingkirkan Atletico dalam kejohanan ini, dan mereka berusaha keras selepas gol awal Conor Gallagher pada minit pertama bagi mengikat agregat 2-2.
Thibaut Courtois beraksi cemerlang dengan beberapa aksi penyelamatan untuk menangkis percubaan Julian Alvarez, sementara Vinicius Junior gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas bola tersasar tinggi.
Dalam penentuan penalti, Alvarez menjaringkan gol buat Atletico, tetapi ia dibatalkan secara kontroversi kerana pengadil mendakwa bola disentuh dua kali akibat tergelincir ketika melakukan sepakan.
“Bola tidak bergerak,” kata Simeone yang kecewa. “Saya mahu percaya bahawa mereka melihat dia menyentuhnya dua kali.”
Marcos Llorente turut gagal menyempurnakan penalti buat Atletico, manakala Antonio Rudiger meledak gol kemenangan untuk Madrid, yang akan bertemu Arsenal di suku akhir.
Pada aksi pertama, Atletico beraksi dengan lebih berhati-hati meskipun ketinggalan satu gol, kerana mereka yakin mampu bangkit di Stadium Metropolitano.
Madrid sebelum ini pernah menyingkirkan Atletico di separuh akhir Liga Juara-Juara 2017 dalam perlawanan terakhir di Vicente Calderon. Ia juga kali pertama pertemuan antara kedua-dua pasukan berlangsung di stadium baharu Atletico dalam Liga Juara-Juara.
Selepas tewas kepada Madrid di final 2014 dan 2016 yang berakhir menerusi penentuan penalti, serta disingkirkan pada setiap pertemuan lain, Atletico menaruh harapan tinggi untuk mengubah sejarah. Namun, mereka sekali lagi terpaksa akur dengan kekalahan tipis. – AFP
