Real hampiri gelaran La Liga

MADRID, 14 JULAI – Real Madrid kini hanya memerlukan kemenangan satu perlawanan untuk merangkul gelaran La Liga selepas berjaya menewaskan Granada 2-1 kelmarin sekali gus menjarakkan jurang mata kepada empat mata ke atas pencabar terdekat Barcelona.

Dengan perlawanan kini berbaki dua perlawanan, Madrid akan bergelar juara jika mereka menewaskan Villarreal di laman sendiri pada Khamis sekali pun Barca mampu menundukkan lawannya Osasuna di Camp Nou.

Walau bagaimanapun dalam perlawanan tersebut, Granada terbukti sukar ditundukkan dan mereka turut mengintai peluang untuk beraksi di Liga Eropah serta menjadi pasukan yang mengejutkan pada musim ini selepas dipromosikan dari liga dua pada musim lalu.

Ferland Mendy dan Karim Benzema telah meletakkan Madrid berada di landasan yang betul untuk memenangi perlawanan menentang Los Carmenes tetapi Granada dilihat mempamerkan aksi yang berbeza pada separuh masa kedua dan rembatan Darwin Machis pada minit ke-50 telah memberikan sedikit harapan kepada Granada.

Madrid dilihat semakin goyah untuk mempertahankan kedudukan dan aksi Sergio Ramos memintas bola dari membolosi gawang telah menghadiahkan kemenangan kesembilan berturut-turut buat pasukan kendalian Zinedine Zidane.

Selepas wisel penamat dibunyikan, Zidane dilihat gembira dan Ramos menggenggam tangannya selepas berjaya menempuh perlawanan yang penuh mencabar sejak liga disambung semula.

“Kami tidak boleh bertenang, kami semakin hampir tetapi kami mesti meneruskannya,” kata Ramos sejurus tamat perlawanan. – AFP

Reaksi Ferland Mendy meraikan gol pertama Real Madrid ketika menentang Granada di laman lawan. – AFP