MADRID, 12 Feb – Real Madrid terus menerajui La Liga dengan kelebihan satu mata di belakang Barcelona selepas terpaksa bekerja keras untuk menewaskan pasukan tangga tercorot Osasuna 3-1, awal pagi tadi.
Terdahulu Barcelona tidak menghadapi masalah apabila membelasah Alaves 6-0 dengan Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar masing-masing mencetak gol.
Bagaimanapun, Real masih mempunyai dua perlawanan dalam tangan berbanding Barcelona.
“Tidak ada banyak perbezaan antara kedua-dua pasukan. Memang benar ia perlawanan membabitkan pendahulu dan pasukan tercorot tetapi kamu tetap perlu beraksi.
“Pasukan lawan sentiasa memberikan kesukaran ketika menentang kami. Kami perlu hadapi semua ini tetapi akhirnya kami dapat apa yang dihajati,” kata pengendali Real, Zinadine Zidane.

Ketika perlawanan baharu mencecah 15 minit, pemain Osassuna, Tano Bonnin terpaksa dikeluarkan selepas patah kaki selepas bertembung dengan Isco dan insiden berkenaan jelas mengejutkan pemain kedua-dua pasukan.
Sembilan minit kemudian, Osasuna menerima tamparan apabila Cristiano Ronaldo meledak gol pertama Real namun kedudukan kembali seimbang hasil jaringan penyamaan Sergio Leon yang tenang menyungkit bola mengatasi Keylor Navas.
Isco kembali meletakkan Real di depan sebelum Lucas Vazquez melengkapkan kemenangan buat skuad Los Blancos. – AFP