Real Madrid aibkan Liverpool

MADRID, 7 APRIL – Vinicius Junior meledak dua gol ketika Real Madrid menghukum Liverpool kerana kesilapan pertahanan sebentar tadi, dengan kemenangan 3-1 yang meletakkan mereka semakin hampir dengan separuh akhir Liga Juara-Juara.

Vinicius dan Marco Asensio kedua-duanya mendapat kelebihan hasil kelemahan pertahanan Liverpool sebelum gerakan mudah daripada balingan bola ke dalam memberikan Vinicius gol kedua.

Gol Mohamed Salah sejurus selepas rehat menghidupkan sedikit saingan di Valdebebas, dengan satu gol di tempat lawan memberikan sagu hati buat Liverpool bagi dibawa ke pusingan kedua di Anfield minggu depan.

Namun tanpa kehadiran penyokong dan rekod buruk di laman sendiri, Jurgen Klopp sedar pasukannya perlu terus berjuang bagi mengelak musim mereka berakhir dengan kosong selepas sasaran mahu berada dalam kelompok empat teratas.

“Kami tidak bermain dengan cukup bagus, itu perkara pertama yang saya bimbang,” kata Klopp. “Kami tidak berhak menang malam ini, tapi berita baik ialah masih ada satu perlawanan lagi.

“Kami akan bertarung, 3-1 tidak bagus, tapi kami ada peluang.”

Selain tempoh dua kali selepas rehat babak pertama dan penghujung saingan ketika lawan cuba bertahan, Liverpool nyata bukan tandingan Real Madrid yang pasti kecewa jika tidak mengekalkan kelebihan dalam saingan kedua dalam tempoh lapan hari.

Sebelum itu mereka akan berdepan Barcelona Sabtu ini dan keputusan ini, kemenangan kesembilan berturut-turut mereka, pasti menjadi suntikan semangat terhadap moral bagi berdepan saingan memburu gelaran La Liga itu.

“Tiada yang sudah selesai, kami masih belum menang,” kata jurulatih Madrid, Zinedine Zidane. – AFP

Reaksi Vinicius (kiri) meraikan jaringan selepas mencetak gol kedua buat pasukannya pada perlawa-nan menentang Liverpool di Stadium Stefano, Madrid, kelmarin. – AP