Real Madrid julang gelaran liga ke-35

MADRID, 1 MEI – Real Madrid meraih gelaran La Liga ke-35 kelmarin dengan kemenangan bergaya 4-0 di laman sendiri ke atas Espanyol ketika Carlo Ancelotti menjadi jurulatih pertama yang memenangi kesemua lima liga utama Eropah.

Real Madrid hanya memerlukan satu mata daripada lima perlawanan terakhir mereka, dan mereka berhasil menjaringkan dua gol menerusi Rodrygo pada separuh masa pertama di Santiago Bernabeu sebelum gol daripada Marco Asensio dan Karim Benzema melengkapkan kemenangan.

Madrid menjulang trofi di hadapan hampir 80,000 penonton di dalam stadium dan perayaan tradisi diteruskan di air pancut Cibeles di ibu negara Sepanyol.

“Ini kali pertama saya memenangi kejuaraan di Bernabeu, suasananya benar-benar sesuatu yang istimewa,” kata Ancelotti kepada Movistar Plus.

“Jika saya menangis (pada wisel penamat), itu kerana saya gembira.

Ancelotti kembali ke Madrid pada musim panas lalu untuk mengambil alih tugas Zinedine Zidane buat kali kedua selepas meninggalkan Everton.

Pengurus dari Itali itu juga pernah memenangi Liga Perdana bersama Chelsea, Serie A dengan AC Milan, Ligue 1 dengan Paris Saint-Germain dan Bundesliga bersama Bayern Munich.

Memandangkan mereka berada di kedudukan teratas sejak November, Madrid berpeluang besar memenangi liga yang telah dikuasai mereka selama berbulan-bulan, tetapi penurunan prestasi daripada Barcelona dan Sevilla turut menawarkan peluang untuk kejuaraan awal Real Madrid. – AFP

Pemain Real Madrid bergambar bersama trofi kemenangan pada penghujung perlawanan bola sepak Liga Sepanyol di stadium Santiago Bernabeu. – AFP