Real Madrid kembali dengan kemenangan

MADRID, 15 JUN – Marcelo meraikan kemenangan dengan berlutut ketika Real Madrid kembali setelah tiga bulan liga bola sepak ditangguhkan akibat COVID-19 setelah menewaskan Eibar 3-1 semalam.

Setelah beliau menjaringkan gol ketiga buat Madrid pada minit ke-37, Marcelo melutut dan mengangkat tangan kanannya ke udara, bagi menyokong pergerakan Black Lives Matter.

Kemenangan Madrid juga menimbulkan rasa bimbang terhadap Eden Hazard dan Sergio Ramos yang dikeluarkan pada awal separuh masa kedua perlawanan dan mereka dilihat membubuh ais dalam bungkusan yang diikat di kaki mereka ketika duduk di bangku simpanan.

Madrid juga mengesahkan pemain pertahanan kanan mereka, Dani Carvajal mengalami kecederaan.

Zinedine Zidane berharap Hazard dan Ramos mengambil langkah berjaga-jaga setelah berehat lama daripada beraksi.

Reaksi Marcelo ketika meraikan kemenangan dengan berlutut di padang selepas menjaringkan golnya semasa perlawanan La Liga antara Real Madrid CF dan SD Eibar di Stadium Alfredo, Stefano, Madrid, semalam. – AFP

Hazard membuat permulaan pertamanya sejak Februari lalu dan bungkusan ais kelihatan diikat di pergelangan kaki kanannya, mungkin selepas cedera pada bulan November dan Februari lalu, sebelum menjalani pembedahan pada bulan Mac.

Ramos memberikan rawatan ais di paha kanannya. Kemenangan Madrid bermakna mereka merapatkan jurang mata ke atas pendahulu liga, Barcelona, kembali dengan hanya berbeza dua mata selepas pasukan Barcelona mengalahkan Real Mallorca 4-0 pada perlawanan baru-baru ini.

Madrid menemui jaringan pertama pada minit ketiga perlawanan setelah melakukan serangan hebat dari Toni Kroos sebelum Ramos membuat hantaran kepada Hazard.

Eibar menjaringkan satu gol pada separuh masa kedua menerusi Pedro Bigas tetapi tidak berjaya mendapatkan sebarang peluang untuk menjaringkan gol kedua, walaupun Madrid mengalami sedikit tekanan.

Hazard terlibat dalam ketiga-tiga jaringan gol semalam buat pasukannya.

Gareth Bale bermula di bangku simpanan dan mungkin akan diturunkan menentang Valencia pada Khamis ini. – AFP