Real Madrid menang tipis, kekal di persada liga

MADRID, 3 JULAI – Real Madrid memanfaatkan peluang besar mereka untuk mengejar gelaran La Liga pada perlawanan semalam setelah menang menentang Getafe untuk menjarakkan lagi jurang empat mata di atas Barcelona ​​dengan berbaki lima perlawanan sahaja lagi.

Jaringan lewat Sergio Ramos menerusi sepakan penalti di Stadium Alfredo di Stefano memberikan kemenangan tipis buat Madrid sekali gus menghampakan Getafe untuk membawa pulang satu mata di akhir perlawanan.

Ini boleh dikatakan antara perlawanan yang paling sukar buat Madrid yang memiliki kelebihan empat mata berbanding Barca di liga meskipun trofi itu kini hampir berada dalam genggaman mereka.

“Kami belum memenangi apa-apa,” tegas jurulatih Zinedine Zidane. “Kami melakukan semuanya dengan baik, ya, tetapi masih ada lima perlawanan yang masih belum kami selesaikan.

Jika kami terus seperti ini, tetap kukuh, maka semuanya akan berjalan lancar.”

Reaksi pemain pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos ketika meraikan jaringan golnya semasa perlawanan antara Real Madrid dan Getafe CF di Stadium Alfredo, Valdebebas, di Madrid, semalam. – AFP

Ini adalah kelebihan terbesar Madrid atas Barcelona sejak September lalu dan jurang terbesar di antara mereka berada di tangga teratas liga sepanjang musim ini.

Sekiranya mereka dapat menewaskan Athletic Bilbao di San Mames pada Ahad ini, Madrid akan dapat menjauhkan dengan jurang tujuh mata di atas Barca, di mana Barca akan berdepan perlawanan sukar di Villarreal dalam beberapa jam kemudian.

Keputusan seri 2-2 Barcelona pada perlawanan di Atletico Madrid yang lalu serta keputusan seri 2-2 sekali lagi di Celta Vigo pada hujung minggu lalu, memberi peluang kepada pasukan Zidane dan kini mereka telah memanfaatkan sepenuhnya.

“Tugas saya adalah membuat mereka tenang dalam saat-saat sukar,” kata Zidane. “Untuk terus tenang, sabar dan positif. Mereka percaya dengan apa yang kita lakukan.”

Kini Madrid telah meraih enam kemenangan dalam enam perlawanan setelah liga kembali semula. – AFP