MADRID, 20 Jan – Bos Real Madrid, Zinedine Zidane menegaskan bahawa dia yang bertanggungjawab atas kekalahan berturut-turut juara Eropah itu apabila mereka mahu menggembalikan kemenangan dengan menerima kunjungan Malaga ke Santiago Bernabeu Sabtu ini.
Madrid mengharungi 40 perlawanan tanpa kalah dalam semua persaingan selama sembilan bulan sehingga dua kekalahan berturut-turut, 2-1 kepada Sevilla dan kemudian diikuti kekalahan dengan jaringan yang sama kepada Celta Vigo dalam suku akhir pertama Copa del Rey.
Zidane menolak untuk rasa bimbang, tetapi mengakui bahawa ‘sesuatu yang tidak kena’ selepas Madrid tewas di laman sendiri buat pertama kali dalam tempoh 11 bulan dan kedua kali sejak dia mengambil alih.
“Saya bertanggungjawab atas semua ini dan saya perlu mencari penyelesaian,” kata warga Perancis itu.
Agak membimbangkan bagi Zidane, persembahan lemah Madrid ketika menentang Celta terjadi meskipun hakikatnya dia telah menurunkan skuad yang kuat.
Karim Benzema dijangka kembali di bahagian serangan dan Keylor Navas akan menggantikan Kiko Casilla di gawang.
Bagaimanapun, dengan bek kanan pilihan pertama, Dani Carvajal diketepikan selama sebulan kerana cedera, Zidane mungkin menurunkan Sergio Ramos atau Nacho bagi posisi itu bagi menggelakkan daripada menurunkan Danilo, yang diejek oleh penyokong Real dalam perlawanan menentang Celta.
Malaga sendiri mengharungi tempoh suram dengan jurulatih baru, Marcelo Romero gagal memperoleh sebarang mata dalam dua perlawanan sejak Juande Ramos meletak jawatan ketika cuti musim sejuk.
Penjaring terbanyak Sandro Ramires dijangka diketepikan sehingga bulan Mac kerana cedera. – AFP
































