Real Madrid terpaksa tunduk

BARCELONA, 28 Feb – Cristiano Ronaldo direhatkan dan pemain bantuan gagal untuk beraksi cemerlang ketika Real Madrid menyaksikan kekalahan mengejut 1-0 di laman lawan kepada Espanyol, semalam.

Gerard Moreno menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-94 di Stadium RCDE yang menyaksikan barisan Real yang mengalami penggiliran dihukum atas ketumpulan penyudah serta persembahan lemah.

Gareth Bale, Marco Asensio dan Isco kesemuanya terpaksa bergelut dengan ketiga-tiga mereka gagal mendapatkan peluang untuk mempamerkan kehebatan menjelang perlawanan akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG) minggu hadapan.

Bale bukanlah satu-satunya pemain Real yang terpaksa berhempas-pulas tetapi pemain berusia 28 tahun itu kembali memperoleh kecergasan terbaiknya, yang berkemungkinan terdesak untuk mempamerkan kemampuannya.

Selepas mensia-siakan beberapa peluang untuk menjaringkan sebarang gol dan menerima kad kuning pada perlawanan separuh masa pertama, dia kemudian digantikan sembilan minit sebelum perlawanan berakhir.

Moreno (kiri) menjaringkan gol kemenangannya ketika pertembungan Espanyol menentang Real Madrid pada La Liga Sepanyol di Cornella Llobregar, Sepanyol semalam. – AP

Namun, Zinedine Zidane enggan menyalahkan sesiapa terhadap prestasi individu sama ada Bale atau keseluruhan pasukan selepas mengalami kekalahan mengejut itu.

Ketika berucap kepada beIn Sports, kekalahan hari itu adalah disebabkan segala-galanya yang tidak menjadi dengan bermacam-macam alasan, bukan hanya disebabkan oleh pemain atau permainan.

Kekalahan itu menyaksikan Espanyol menduduki tangga ke-13  La Liga dengan Real terus terbenam dan akan ketinggalan 17 mata di belakang pendahulu sekiranya Barcelona berjaya mengalahkan Las Palmas, Jumaat ini.

Tambahnya, sekiranya keputusan itu bukan yang mereka mahukan, ia akan membawa langkah ke belakang dan dia tidak perlu menyalahkan pemainnya, menurutnya mereka bermain dalam perlawanan itu dan tidak berjaya memperoleh apa yang mereka jangkakan. – AFP