Real menang tipis, Fati pamer magis

MADRID, 15 SEPT – Karim Benzema meledakkan dua gol buat Real Madrid dalam kemenangan 3-2 ke atas Levante, di mana Eden Hazard membuat penampilan pertamanya dalam La Liga, sementara Barcelona menang selesa 5-2 ke atas Valencia yang mana Ansu Fati memperlihatkan lebih banyak magis.

Gol-gol Benzema hadir hanya dalam tempoh enam minit pada separuh masa pertama di Santiago Bernabeu, sebelum Casemiro menjadikan kedudukan 3-0.

Bagaimanapun, Levante, yang memenangi dua perlawanan mereka sebelum ini, mempamerkan kecekalan mereka di separuh masa kedua dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Borja Mayoral dan Gonzalo Melero.

Hazard pula keluar dari bangku simpanan pada setengah jam terakhir bagi penampilan pertamanya dalam La Liga selepas pulih daripada masalah paha, yang telah menjejaskan permulaan kerjayanya di Real selepas perpindahan dari Chelsea bernilai 100 juta euro.

Sementara itu, Ansu Fati, 16, meledakkan gol keduanya musim ini dalam kemenangan 5-2 ke atas Valencia.

Dengan Lionel Messi masih cedera dan hanya menyaksikan perlawanan dari tempat duduk di Camp Nou, Fati telah menerima pujian selepas menghasilkan permainan hebat.

Fati, yang menjadi penjaring ketiga paling muda dalam sejarah La Liga apabila dia keluar dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol dalam perlawanan yang berkesudahan 2-2 di Osasuna awal bulan ini, sekali lagi menemui sasaran apabila meledakkan gol pada minit kedua sebelum memberikan umpanan gol kepada Frenkie de Jong pada minit ketujuh.

Atletico Madrid mengekalkan kedudukan mereka di persada liga, namun hanya dengan satu mata di depan Real selepas mengalami kekalahan pertama 2-0 musim ini kepada Real Sociedad. – AFP

Karim Benzema menyaksikan sepakannya cuba dihadang oleh pemain Valencia dalam aksi La Liga di Santiago Bernabeu. – AFP