Friday, January 24, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Real sahkan Mbappe cedera paha kiri

    MADRID, 13 DIS – Penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe, mengalami kecederaan paha dalam perlawanan Liga Juara-juara menentang Atalanta minggu ini, menurut pengesahan kelab Sepanyol itu kelmarin tanpa memberikan butiran mengenai tempoh ketiadaannya. 

    “Susulan ujian yang dijalankan ke atas Kylian Mbappe hari ini oleh jabatan perubatan Real Madrid, pemain tersebut disahkan mengalami kecederaan paha di kaki kirinya. Perkembangan beliau akan dipantau,” kata Real dalam satu kenyataan. 

    Pada Selasa, Mbappe membuka jaringan seawal minit ke-10 dalam kemenangan 3-2 di Bergamo, yang menyemarakkan semula kempen Liga Juara-juara juara bertahan itu. 

    Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu mengalami kesakitan otot pada minit ke-36 dan digantikan oleh Rodrygo.

    “Mbappe mengalami sedikit ketidakselesaan pada otot hamstringnya. Ia tidak kelihatan serius tetapi kita akan lihat keadaannya esok,” kata jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti, selepas perlawanan pada Selasa. 

    “Beliau tidak boleh memecut, ia menyakitinya sedikit dan kami fikir lebih baik untuk menggantikannya.” 

    Sebelum mengalami kecederaan, Mbappe menunjukkan salah satu aksi terbaiknya dalam jersi Madrid sejak menyertai pasukan itu musim panas lalu dari Paris Saint-Germain, dengan tiga peluang jaringan yang jelas, termasuk satu pada minit kedua. 

    Beliau menjaringkan gol ke-50 dalam kerjayanya di Liga Juara-juara dan gol ke-12 sejak menyertai Real Madrid. 

    Real Madrid akan menentang Rayo Vallecano dalam saingan La Liga pada Sabtu, diikuti dengan perlawanan akhir Piala Antara Benua FIFA pada 18 Disember dan satu lagi perlawanan La Liga di laman sendiri menentang Sevilla empat hari kemudian. – AFP

    Reaksi Kylian Mbappe selepas mengalami kecederaan dalam perlawanan bola sepak Liga Juara-juara UEFA antara Atalanta dan Real Madrid di Stadium Gewiss, Bergamo, pada 10 Disember. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda