MADRID, 26 Jan – Sepakan percuma hebat Cristiano Ronaldo tidak cukup untuk menyelamatkan Real Madrid daripada penyingkiran Copa del Rey apabila seri 2-2 di Celta Vigo awal pagi tadi, membolehkan pasukan tuan rumah mara ke separuh akhir dengan agregat 4-3.
Dilanda dengan siri kecederaan, harapan Real untuk menterbalikkan keputusan menerima tamparan hebat apabila jaringan sendiri Danilo memberikan pendahuluan bagi Celta sebelum rehat.
Ronaldo memberikan Madrid harapan dengan gol pertamanya dalam Copa del Rey dalam tempoh dua tahun.
Namun, Daniel Wass mengembalikan pendahuluan Celta dengan perlawanan berbaki lima minit sebelum tandukan Lucas Vazquez di masa kecederaan sekurang-kurangnya mencegah Madrid daripada mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam empat perlawanan.
Celta menyertai Alaves dan Atletico Madrid bagi slot separuh akhir.

Barcelona membawa kelebihan 1-0 ke atas Real Sociedad dalam suku akhir kedua awal pagi esok.
“Kami tersingkir dan kecewa. Kekecewaan terbesar saya adalah kerana para pemain bermain dengan sangat baik,” kata pengendali Madrid, Zinedine Zidane.
“Kami hanya kekurangan beberapa minit lagi untuk menjaringkan gol ketiga, tetapi ia tidak terjadi.”
Sebaliknya, Celta hanya tiga perlawanan lagi daripada kejuaraan utama pertama mereka.
“Para pemain mempunyai kemampuan untuk menyingkirkan gergasi seperti Real Madrid,” kata bos Celta, Eduardo Berizzo.
“Kami tahu bahawa kami akan sengsara. Madrid memaksa anda menjadi wira dalam perlawanan bertahan. Kemudian apabila anda mempunyai peluang untuk menjejaskan mereka, anda perlu lakukan.”
Dalam perlawanan lebih awal, Atletico telah memastikan tempat mereka dalam separuh akhir Copa del Rey meskipun tanpa menurunkan bintang penyerang mereka, Antoine Griezmann apabila seri 2-2 di Eibar bagi mara dengan agregat 5-2.
Tandukan Jose Maria Gimenez di awal separuh masa pertama menyebabkan Eibar perlu menjaringkan lima lagi gol untuk mara, tetapi gol-gol daripada Sergi Enrich dan Pedro Leon sekurang-kurangnya bagi malam itu tetapi di penghujung perlawanan Juanfran telah menjaringkan gol penyamaan. – AFP