BAGI yang pernah menyimpan impian untuk memiliki bandar sendiri atau pernah bercita-cita untuk menjadi seorang arkitek, kini anda boleh merealisasikan impian tersebut dengan merealisasikan bandar impian anda dalam sebuah permainan video yang dibina oleh Colossal Order dan diedarkan oleh Paradox Interactiver berjudul Cities Skylines.
Ia merupakan sebuah permainan video yang menampilkan elemen simulasi yang memberikan peluang kepada para pemain untuk mengawal selia perancangan sesebuah bandar yang merangkumi aspek kawalan zon, penempatan jalan, cukai, perkhidmatan awam dan pengangkutan awam.
Di samping itu, pemain juga turut berhadapan dengan isu yang sering dihadapi dalam perancangan sesebuah bandar seperti kemajuan ekonomi, kesihatan, pekerjaan dan kawalan terhadap pencemaran.
Permainan video ini pernah dikeluarkan untuk Microsoft Windows, OS X dan Linux pada Mac 2015 dan kini versi yang dipertingkatkan dikeluarkan pula untuk pelantar Xbox One dan PlayStation 4.
Gilap kemahiran kreativiti
Pemain akan diberikan sebidang tanah dan sejumlah wang di awal permainan bagi membolehkan para pemain untuk menggunakan daya kreativiti dengan sebaiknya untuk mencorak sekaligus merealisasikan bandar impian yang diinginkan.
Dari situ, pemain boleh mula menguruskan sistem jalan raya, zon perumahan, perindustrian dan komersial di samping menyediakan kemudahan asas bagi memberikan kemudahan kepada penduduk seperti sistem janakuasa elektrik, bekalan air dan sistem aliran pembetungan yang baik.
Dengan terhasilnya sebuah bandar yang berkembang maju secara tidak langsung ia menawarkan begitu banyak tarikan menarik termasuk peluang pekerjaan dan taraf kehidupan yang lebih baik sekaligus turut menarik lebih ramai orang asing untuk berpindah ke dalam bandaraya ciptaan pemain.
Tatkala sesebuah bandar di bawah pengurusan pemain itu berkembang maju, kawasan bandar juga semakin luas di mana ia juga turut memberikan peluang untuk menambah infrastruktur yang lebih baik seperti sekolah, bomba, balai polis, pusat kesihatan dan sistem pengurusan sampah.
Perkembangan sesebuah bandar itu adalah secara berperingkat bergantung kepada kreativiti dan kebijaksanaan para pemain kerana permainan ini menawarkan perkembangan sesebuah bandar sehingga seluas peringkat sebuah daerah.
Sebagaimana dalam dunia realiti, selaku pemerintah dan penguasa bandar setentunya kuasa untuk menggubal undang-undang juga terletak di bahu pemain di mana pemain bebas untuk menguatkuasakan peraturan seperti mengenakan cukai yang turut membantu meningkatkan kadar ekonomi dan undang-undang demi menjaga keselamatan penduduk bandar ciptaan para pemain.
Jadi pemerintah bertanggungjawab
Umum mengetahui dalam mengurus tadbir sesebuah bandar setentunya tidak terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai isu dan masalah yang membelenggu kehidupan masyarakat setempat.
Selaku seorang pemerintah, pemain harus bijak dalam mencari cara penyelesaian dalam menghadapi pelbagai permasalahan seperti kesesakan lalu lintas, pencemaran dan sebagainya.
Dalam menghadapi masalah kesesakan lalu lintas jalan raya, para pemain boleh menyediakan pelbagai pengangkutan awam seperti bas dan keretapi dalam usaha untuk mengurangkan jumlah kereta yang digunakan oleh para penduduk di jalan raya di bandar tersebut.
Sementara masalah pencemaran pula boleh diatasi dengan mengadakan kempen tanaman pokok hijau secara besar-besaran yang secara tidak langsung dapat memberikan udara segar kepada para penduduk setempat.
Dengan meningkatnya kemudahan dan kemajuan sesebuah bandar ciptaan pemain secara tidak langsung nilai hartanah di kawasan itu juga meningkat yang turut meningkatkan ekonomi bandar itu.
Lalu, sekiranya anda teruja untuk mencipta dan mengurus tadbir sesebuah bandar impian yang secara tidak langsung turut menguji daya kreativiti dan kebijaksanaan para pemain ini jangan terlepas untuk mencubanya sendiri dalam Cities Skylines yang dikeluarkan untuk pelantar Xbox One dan PlayStation 4.