Realiti dan cabaran: pembelajaran dan WFH dalam talian

Oleh SIM Y. H.

Semenjak penularan gelombang kedua wabak COVID-19 pada awal Ogos lalu, telah menyaksikan negara melaksanakan langkah-langkah pengawalan yang diperketatkan untuk menangani, mengawal dan membendung penularan jangkitan.

Antara langkah kawalan yang dilaksanakan adalah penutupan sekolah dan institusi pendidikan di mana pembelajaran dan pengajaran dilaksanakan secara dalam talian dan bagi pekerja-pekerja di sektor swasta dan kerajaan yang bukan essential workers untuk bekerja dari rumah (WFH).

Ke arah memahami akan pengalaman tempatan mengenai dengan pelaksanaan pembelajaran, pengajaran serta juga WFH secara dalam talian, Brunei Computer Emergency Response Team (BruCERT) telah mengendalikan sebuah kajian dalam talian bermula 3 hingga 16 September lalu.

Kajian berkenaan dibukakan bagi tempoh selama dua minggu di mana saiz sampel bagi kajian ialah seramai 1,574 orang responden dengan ulasan dan kebimbangan disuarakan oleh responden-responden termasuk pelajar, pendidik, penjawat awam, kakitangan sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri.

Kajian mendapati bahawa ulasan yang diperoleh daripada pelajar ialah kebanyakan mereka berhadapan dengan isu sambungan Internet yang tidak stabil dan kos langganan. Mereka juga menyuarakan kebimbangan mengenai kesihatan mental dan kekurangan keseimbangan antara pekerjaan dengan aktiviti di rumah.

Antara keburukan pengajaran dan pembelajaran serta WFH secara dalam talian adalah mengalami keletihan dan sakit kepala kerana menghadap skrin bagi tempoh yang lama.

Kajian juga mendapati mereka menyatakan bahawa mereka mempunyai lebih banyak tugasan dengan pembelajaran di rumah jika dibandingkan dengan pembelajaran di sekolah.

Antara ulasan-ulasan dan kebimbangan yang dikongsi oleh para pelajar adalah mengalami keletihan dan sakit kepala kerana menghadap skrin bagi tempoh yang lama, kurang interaksi dengan orang lain membawa kepada mereka merasa kurang bermotivasi dalam pembelajaran, kesukaran bagi mereka untuk belajar kerana lebih gemar kepada pembelajaran bersemuka berbanding pembelajaran secara maya dan terdapat sebilangan pelajar khususnya bagi pelajaran yang memerlukan pendekatan hands-on learning atau aktiviti menyuarakan pembelajaran adalah kurang berkesan tanpa aktiviti berinteraksi.

Sementara itu, sebilangan besar pendidik mengetengahkan mereka mempunyai pergelutan WFH sambil perlu untuk menjaga anak-anak kecil. Mereka juga menyatakan kebimbangan mengenai tempoh skrin yang lama di mana ia menyebabkan ketegangan mata, sakit kepala, sengal dan sakit sendi disebabkan oleh ergonomik yang tidak baik. Mereka turut menyatakan bahawa terdapat keperluan untuk menangani pengurusan stres, kesihatan mental dan kurang keseimbangan pekerjaan-kehidupan.

Selain itu, para pendidik turut menyuarakan kekecewaan mereka dengan jumlah kedatangan pelajar yang rendah disebabkan oleh pelbagai faktor khususnya apabila mereka menghabiskan masa dalam menyediakan bahan-bahan bagi pembelajaran atas talian. Mereka juga telah berhadapan dengan ibu bapa yang menyiapkan tugasan yang diberikan bagi anak-anak mereka.

Mereka memberikan cadangan bagi penyediaan aktiviti yang boleh memperbaiki kesihatan semasa berada di rumah, berharap pelajar-pelajar mereka disediakan dengan peralatan yang bersesuaian seperti Tablet supaya mereka dapat terlibat secara aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan serta bantuan daripada pihak yang berkenaan dalam membantu para guru atau pendidik dan khususnya pelajar dalam memudahkan lagi proses pembelajaran dalam talian.

Kajian menyatakan bahawa bagi kebanyakan penjawat awam, mereka merasa bahawa mereka dijangka untuk bekerja sepanjang hari dengan pegawai atasan memberikan tugasan kerja di luar waktu pejabat dan juga pada hari-hari bukan bekerja.

Waktu bekerja yang tidak menentu itu, telah membawa kebimbangan terhadap kesejahteraan dan kesihatan mental mereka di mana terdapat juga sebilangan yang mengalami kekurangan kepercayaan daripada pegawai atasan untuk melaksanakan tugas mereka.

Selain itu, mereka juga menyatakan mesyuarat atas talian yang kerap turut menjadi sumber kekecewaan mereka. Kajian turut mendapati terdapat penjawat awam yang bergelut untuk menyelesaikan tugas di rumah disebabkan oleh sifat pekerjaan mereka seperti penyelenggaraan bangunan atau perpustakaan. Terdapat juga mereka yang mengeluh mengenai perbelanjaan yang meningkat bagi akses Internet dan bekalan elektrik.

Kajian turut mendapati ramai melahirkan perasaan syukur dengan keupayaan untuk WFH dan berkata bahawa ia merupakan alternatif yang lebih selamat sehingga kes jangkitan COVID-19 tempatan mula menurun.

Mereka juga menyatakan bahawa terdapat manfaat WFH iaitu kurang masa dihabiskan berulang-alik ke tempat kerja atau berada dalam kesesakan jalan raya, kurang perbelanjaan bagi minyak kereta, mempunyai waktu kerja yang fleksibel, lebih tumpuan kepada tugas dan lebih masa untuk bersama keluarga.

Para penjawat awam mengemukakan beberapa cadangan bagi memperbaiki lagi pengalaman WFH termasuk bagi agensi-agensi relevan untuk menyediakan platform latihan dalam talian seperti video atas talian pendek bagi meningkatkan dan memberikan kemahiran baharu kepada mereka terutamanya dalam penggunaan teknologi baharu dan perlindungan data serta bagi agensi-agensi yang relevan untuk menyediakan garis panduan bagi WFH seperti garis panduan mesyuarat dalam talian dan masa skrin.

Sementara itu, kajian mendapati bagi pekerja di sektor swasta ialah sumber kekecewaan bagi mereka ialah prestasi Internet dan kos langganan serta data top up dengan terdapat yang terpaksa menggunakan Internet mudah alih yang lebih mahal disebabkan oleh masalah mendapatkan pemasangan jalur lebar.

Mereka juga menyatakan berlaku gangguan hubungan semasa mesyuarat dalam talian dan menyuarakan bahawa hubungan Internet yang tidak stabil sebagai punca utama kekecewaan serta stres mereka.

Selain itu, berlaku juga peningkatan perbelanjaan bagi Internet, elektrik dan peralatan pejabat di rumah seperti kerusi pejabat, monitor dan mesin cetak. Mereka turut mencadangkan kepada para majikan untuk menyediakan komputer riba bagi WFH dan elaun bagi akses Internet.

Mereka juga menyatakan beberapa buah syarikat mempunyai waktu bekerja yang lebih pendek bagi mereka yang bekerja dari pejabat (WFO) berbanding dengan mereka yang WFH dan perkara itu, adalah tidak adil bagi sebilangan mereka dalam kajian itu.

Sebilangan besar mereka yang bertugas dalam sektor swasta menggemari WFH dan mencadangkan kepada majikan untuk mempertimbangkan bagi menawarkan WFH sebagai satu pilihan selepas pandemik berkenaan.

Mereka menyatakan bahawa manfaatnya adalah berpeluang untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan pada masa yang sama, juga mampu untuk menumpukan perhatian semasa bekerja.

Cadangan-cadangan lain yang turut dikemukakan oleh pekerja di sektor swasta ialah bagi pihak berkuasa yang relevan untuk bekerja dengan pantas bagi merapatkan jurang digital khususnya bagi mereka yang kurang berkemampuan di mana mereka mempunyai anak yang belajar secara dalam talian tetapi tidak mempunyai peranti yang mencukupi dan sambungan Internet serta bagi pelaksanaan tempoh bekerja yang lebih pendek di sektor swasta untuk memudahkan ibu bapa yang bekerja dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga serta anak-anak mereka.

Manakala itu, kajian mendapati bagi mereka yang bekerja sendiri, terdapat yang menyatakan WFH adalah bermanfaat bagi perniagaan mereka di mana mereka juga berjimat daripada segi kos minyak dan waktu, kos Internet yang masih mahal serta hubungan yang kurang stabil menyebabkan terputus hubungan atau berhadapan dengan gangguan ketika mengadakan persidangan video, penstriman dan juga menyukarkan bagi melakukan kerja-kerja kolaboratif secara dalam talian.

Mereka turut memberikan beberapa cadangan termasuk bagi penganjuran pertandingan video supaya mereka boleh menjana pendapatan melalui apa juga platform atau pelaksanaan program yang boleh menjanakan pendapatan bagi mereka dan pada masa yang sama membantu kerajaan atau meningkatkan ilmu pengetahuan.