REALMIX dedah minuman tenaga berherba

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Setelah Syawal berakhir, kini masanya telah tiba untuk menjalani semula rutin kecerdasan fizikal bagi mengekalkan cara hidup sihat selepas menghadiri banyak majlis rumah terbuka yang menawarkan pelbagai hidangan enak.

Sehubungan itu, Borneo Middle East Trading Co (BMETCo) memperkenalkan minuman tenaga berasaskan organik yang diimport dari Austria iaitu jenama REALMIX yang mana pelancaran awal bagi minuman tenaga itu telah dirasmikan dengan pelantikan dua duta jenama REALMIX Brunei iaitu Awang Mohamed Fakhri bin Ismail dan Awang Muhamad Hafizuddin bin Haji Alidi, baru-baru ini.

Majlis penandatangan pelantikan duta tersebut diadakan di Ibu Pejabat BMETCo di Gadong yang turut disaksikan oleh Pengurus BMETCo, Pengiran Emran Ahmad.

Awang Mohamed Fakhri merupakan pelari pecut dan atlet Olimpik Brunei yang berusia 28 tahun dan pada masa ini memegang rekod negara larian 100 meter dan 4×100 meter, selain pernah mewakili negara ke Sukan Olimpik Musim Panas 2016 di Rio de Janerio, Brazil dan penerima pelbagai pingat di Malaysia, selain menyertai acara di Singapura dan China serta lainnya.

Sementara itu, Awang Muhamad Hafizuddin merupakan seorang atlet berkeperluan khas berusia 24 tahun merupakan seorang atlet lompat tinggi, pelari pecut dan meraih beberapa pingat dalam Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD), finalis Sukan Paralimpik ASEAN serta menyertai sukan di Melaka, Malaysia dan lainnya.

Pengiran Emran Ahmad bersama duta jenama REALMIX Brunei, Awang Mohamed Fakhri dan Awang Muhamad Hafizuddin.

Dengan pelantikan duta jenama itu, mereka diharap akan menjadi inspirasi kepada atlet-atlet sukan lainnya sekali gus ikon bagi jenama REALMIX, minuman tenaga yang menjadi sebahagian daripada rutin mereka dalam menjalani sesi latihan menjerihkan.

REALMIX Premium Energy Drink yang pertama di dunia tanpa Taurine, mempunyai rasa minuman tenaga klasik dihasilkan daripada bahan-bahan herba semula jadi seperti guarana, teh hijau, beri schizandra, damiana dan mate yang mesra vegetarian.

Bagaimanapun, ia tidak sesuai diminum oleh kanak-kanak, ibu mengandung mahupun menyusukan anak dan individu yang sensitif dengan kafein disebabkan ekstrak tumbuhan semula jadi dicampur dengan perangsang tenaga yang pada tahap yang diperlukan.

Selain minuman tenaga premium, REALMIX juga menawarkan pelbagai jenis minuman buah-buahan seperti kranberi, serai, Ice Tea Peach & Lemon.

Baru-baru ini, REALMIX Brunei turut menyertai Pesta Pengguna ke-23 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas dengan minumannya boleh didapati di kedai-kedai runcit, pasar raya serta gim-gim terpilih.