Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Lebih 150 orang ahli Pertubuhan Wargamas Brunei (WEB) telah menyertai majlis khatam Al-Quran, tahlil dan Doa Arwah ke-2 yang berlangsung di Masjid Kampung Lambak, baru-baru ini.
Majlis bermula dengan bacaan Saidul Istigfar beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Dipertua WEB, Haji Bakar bin Haji Mohd Don selaku tetamu kehormat majlis.
Penasihat dan Perwakilan Khas Majlis Khatam Al-Quran WEB, Haji Abdul Hakim pula mengetuai bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan acara Khatam Al-Quran sementara Imam Masjid Kampung Lambak, Haji Mahrof bin Haji Chuchu mengepalai bacaan ayat-ayat lazim yang bermula dari Surah Ad-Dhuhaa hingga Surah An-Naas dan seterusnya membaca Takhtim dan Doa Khatam.
Ketua Biro Keagamaan WEB, Haji Nipah@Haji Ariffin bin Haji Hassan memimpin bacaan tahlil dan membaca Doa Arwah.
Majlis turut diserikan dengan laungan Dikir Marhaban oleh ahli-ahli WEB yang diketuai oleh Haji Bakar.
Sementara itu, Pasukan Badminton YBs (Yang BerSara) pula telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran 100 kali Khatam di kediaman salah seorang ahli pasukan berkenaan.
Pengerusi YBs, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don menjelaskan bahawa usaha bersama membaca Al-Quran telah bermula 11 Mac 2020 dan berakhir pada 28 Mac lalu di mana para pesertanya terdiri daripada ahli-ahli YBs iaitu seramai 24 orang lelaki.