Sunday, March 26, 2023
24.5 C
Brunei

-

Rebut kelebihan bulan Ramadan

Oleh Yusrin Junadi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Bulan Ramadan merupakan bulan yang sangat-sangat dinanti-nantikan dan umat Islam di seluruh dunia akan menunaikan ibadah puasa selama sebulan tidak lama lagi.

Bulan Ramadan itu merupakan bulan yang istimewa dan jika seseorang itu memanfaatkannya dengan penuh keimanan maka mereka boleh mencapai darjat yang tinggi di sisi Allah SWT.

Perkara tersebut adalah antara yang disampaikan di dalam Tazkirah bertajuk ‘Ahlan Ya Ramadan’ oleh Pegawai Pelajaran Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dayang Siti Hanisah binti Haji Othman, sempena Program Malam Munajat ke-78 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang diadakan secara maya, semalam.

Hadir menyertai Malam Munajat tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Acara turut mengundang tetamu khas iaitu Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Al-Fatihah dari Surau Al-Syafi’i, UNISSA.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menyertai Malam Munajat yang diadakan secara maya, kelmarin. – Gambar serahan KHEU

Turut hadir ialah para pegawai, tenaga pengajar dan mahasiswa UNISSA; ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Bunut; serta para jemaah dari 99 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat seluruh negara, dan juga warga KHEU berserta keluarga dari kediaman masing-masing.

Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Al-Fatihah, ia diteruskan dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Mahasiswa Fakulti Bahasa Arab, UNISSA, Awang Abdul Shafiq bin Roszani, selaku Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UNISSA.

Ia diikuti dengan Doa Munajat dibacakan oleh Ketua Unit Antarabangsa dan MABIMS, Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, KHEU, Pengiran Muhammad Azrin bin Pengiran Jarail, dari Masjid Kampung Bunut.

Sejurus selesai tazkirah, bacaan Asma’ul Husna dipimpin oleh Mahasiswa Fakulti Usuluddin, UNISSA, Awang Muhammad Dzulkhairi bin Haji Ibrahim.

Bagi memberkati acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Haji Shari bin Awang Murat, dari Masjid Kampung Bunut.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Xi jemput Sanchez adakan lawatan negara

MADRID, 24 MAC - Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez telah menerima jemputan daripada Presiden China, Xi Jinping untuk membuat lawatan negara ke Beijing ketika...
- Advertisment -