Rebut peluang ceburi bidang perniagaan

Oleh Sim Y.H

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Peluang dalam bidang keusahawanan di negara ini masih banyak dan pelbagai yang dilihat sebagai sesuatu yang perlu diterokai oleh warga tempatan.

Mungkin disebabkan kekurangan minat warga tempatan untuk terlibat dalam bidang keusahawanan dan sikap mereka untuk mencari jalan mudah dengan memberikan kesempatan kepada pengusaha luar untuk menggunakan lesen mereka, maka timbulnya lesen yang disewakan.

Oleh itu, usahawan tempatan harus merebut peluang menceburi bidang itu serta membantu dalam mena-ngani isu sekali gus mengurangkan pengangguran.

Perkara itu dinyatakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei (DPPMB), Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arshad dalam kata alu-aluannya pada Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara DPPMB dengan LiveWIRE Brunei yang berlangsung Hotel Parkview, Jerudong, hari ini.

Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Sabli berkata lagi bahawa DPPMB dan LiveWIRE Brunei mempunyai visi dan misi yang sama iaitu untuk membangunkan keusahawanan bagi rakyat Brunei di mana kedua-dua pihak mempunyai program pembangunan keusahawanan mereka tersendiri.

Haji Abdul Rahman (kiri) dan Hajah Rosita bertukar-tukar dokumen perjanjian sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Sabli.
Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Sabli, Haji Abdul Rahman dan Hajah Rosita ketika hadir pada majlis tersebut.

DPPMB, jelasnya lagi, mempunyai kekurangan dalam pengajaran kemahiran, manakala LiveWIRE Brunei mempunyai kelebihan dalam bidang berkenaan.

Pada masa yang sama, DPPMB mempunyai ramai ahli yang berpengalaman dan berkemahiran yang boleh memberikan atau menjadi mentor dalam pembangunan keusahawanan.

Oleh itu, jelasnya, penandatanganan MoU itu dapat memantapkan lagi kerjasama antara kedua-dua belah pihak untuk berusaha memberikan kepimpinan, bimbingan dan sokongan kepada program kedua-dua belah pihak bagi mencapai kejayaan dalam dua perkara iaitu program yang mempunyai impak kepada pekerjaan dan dalam bidang keusahawanan.

Majlis diteruskan dengan penandatanganan MoU di mana menandatangani bagi pihak DPPMB ialah Setiausaha Agung, Haji Abdul Rahman bin Haji Sirat dan menandatangani bagi pihak LiveWIRE Brunei ialah Pengerusi LiveWIRE Brunei dan Pengurus In-Country Value Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Hajah Rosita binti Haji Hassan dengan disaksikan oleh Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Sabli.

Melalui MoU itu, LiveWIRE Brunei dan DPPMB masing-masing akan terus memberikan sokongan demi melahirkan peniaga dan usahawan Melayu Brunei yang berjaya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan dengan membekalkan mereka dengan tatacara berniaga yang betul dan tertib, serta pengurusan kewangan dan perancangan masa depan.

MoU itu adalah selaras dengan Pelan Strategik Portfolio 2020 iaitu memperkasa peniaga dan pengusaha Melayu untuk menerajui perkembangan ekonomi negara bagi mencapai wawasan negara 2035.

Penandatanganan itu juga adalah untuk merasmikan kerjasama antara DPPMB dan LiveWIRE Brunei.

Walau bagaimanapun, sebelum MoU itu dibuat, kedua-dua belah pihak telah giat bekerjasama dalam membantu peniaga-peniaga Melayu Brunei dan belia-belia.

Antara usaha kerjasama yang telah dibuat ialah mengadakan bengkel-bengkel keusahawanan yang dikendalikan khususnya untuk ahli-ahli DPPMB, peniaga-peniaga Melayu Brunei dan juga belia-belia di mana bengkel itu bertujuan untuk membantu dalam meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan mengukuhkan perancangan perniagaan supaya berdaya tahan dan dinamik.