Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Secara global, kita terus berhadapan dengan cabaran-cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini dan ia kelihatan seperti sebuah dunia di mana cabaran-cabaran yang dihadapi sekarang adalah akibat tindakan yang lalu.
Dengan kita sekarang menuju ke arah sebuah dunia pasca pandemik, kita harus mengemudi satu lagi cabaran.
Dalam hubungan itu, adalah amat penting untuk belajar daripada pengalaman di antara satu sama lain kerana masyarakat akan maju jika kita bekerjasama, ujar Pengerusi Bank Baiduri, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah dalam ulasannya bertajuk Navigating the Transition semasa Forum Town Hall bertajuk Finding Opportunity After The Pandemic: Smart Ideas For Brunei SMEs di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Yang Amat Mulia berkata bahawa apa yang jelas kelihatan adalah pandemik global berkenaan telah banyak mempengaruhi aspek kehidupan kita.
Oleh itu, terdapat banyak cara di mana masyarakat telah mengemudi peralihan berkenaan di mana ada yang telah menyesuaikan diri dengan melaksanakan pelajaran yang dipelajari daripada menangani pandemik berkenaan ke dalam aktiviti harian mereka.

Secara peribadi, ujar Yang Amat Mulia, adalah lebih baik untuk mempelajari daripada pengalaman yang kita lalui.
Sebagai contoh, pandemik berkenaan telah mempercepatkan penerimaan teknologi baharu dan ini dapat dirasai dalam kehidupan harian kita, daripada aktiviti biasa seperti berkunjung ke restoran kepada kaedah baharu untuk melakukan perniagaan dan rangkaian.
“Kita telah membangunkan tabiat pengesanan kontak, mengimbas masuk dan keluar dari tempat yang kita tujui, penerimaan lebih banyak cara pembayaran yang berbeza dilaksanakan dan diterima serta penggunaan teknologi panggilan video dalam mesyuarat perniagaan harian kita,” jelasnya.
Yang Amat Mulia berkata lagi bahawa penggunaan teknologi ini menjadikan kita mudah terperangkap dengan kata-kata penting seperti digital dahulu atau digital secara lalai.
“Tetapi bekerja dalam ruangan digital adalah lebih daripada penggunaan teknologi dan peralatan digital.
“Ia adalah memikirkan mengenai tingkah laku baharu seperti orang sedar mengenai bagaimana suara mereka diprojeksikan dan memikirkan mengenai isyarat bukan lisan semasa panggilan persidangan video,” tambahnya.
Yang Amat Mulia seterusnya berkata, cabaran-cabaran yang diketengahkan oleh pandemik berkenaan memerlukan perniagaan di seluruh dunia untuk bertindak dengan cara yang tangkas dan tegas termasuk di Brunei.
Oleh itu, dengan kita bergerak ke dalam fasa seterusnya, sekarang adalah masanya untuk mencari dan merebut peluang-peluang yang muncul dalam pemulihan itu.
Ramai pakar yang mengingatkan bahawa pendekatan yang lebih kembali kepada asas diperlukan untuk melakukan perniagaan semasa masa yang mencabar ini dan pemilik perniagaan harus tidak lupa kepada perlunya bagi asas yang kukuh.
Dengan asas yang lebih kukuh, tambah Yang Amat Mulia, perniagaan mereka akan diletakkan lebih baik untuk memanfaatkan dengan lebih efektif peluang-peluang yang muncul dalam pemulihan pasca COVID-19 dan untuk terus menang dalam pasaran mereka dengan kembalinya lebih kepastian dan kestabilan.