Rebut peluang junjung ziarah

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Rombongan seramai 120 orang warga emas dari Daerah Brunei dan Muara baru-baru ini, telah membuat kunjungan ke Istana Nurul Iman bagi menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat diraja yang lain sempena Hari Raya Aidilfitri.

Rombongan yang termasuk beberapa orang pegawai dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan sukarelawan Projek Memeduli Warga Emas (PMWE) itu telah diketuai oleh Pengurus Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Brunei dan Muara, Haji Mohd Ali bin Haji Emran.

Kunjungan tersebut merupakan salah satu aktiviti bersempena Hari Raya Aidilfitri yang diadakan setiap tahun sejak PKWE Daerah Brunei dan Muara ditubuhkan pada 2013.

Selepas berkunjung ke Istana Nurul Iman, rombongan tersebut telah mengadakan kunjungan ke rumah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan,Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin di Kampung Sungai Akar.

Ahli-ahli PKWE Daerah Brunei dan Muara ketika mengadakan kunjungan ke rumah Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selepas berkunjung ke Istana Nurul Iman, baru-baru ini.