Rebut peluang pekerjaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai peranan JobCentre Brunei (JCB) dan perkhidmatannya dalam membantu para pencari kerja serta perniagaan mencari pekerja tempatan, JCB di bawah Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian akan mengadakan empat sesi Mukim Connect di seluruh daerah bagi bulan September ini.

Acara itu akan menampilkan beberapa aktiviti utama termasuk sesi taklimat oleh syarikat-syarikat yang menyertainya, maklumat mengenai hala tuju kerjaya dan sesi temu duga terbuka yang mana kira-kira 300 peluang pekerjaan ditawarkan untuk orang ramai oleh syarikat-syarikat tersebut.

Mukim Connect pertama bulan ini diadakan hari ini bertempat di Dewan Kemasyarakatan Kampung Layong, Mukim Lamunin, Tutong.

Manakala sesi seterusnya akan diadakan pada 10 September di Dewan Kemasyarakatan Mentiri, Mukim Mentiri, Daerah Brunei dan Muara.

Pada 12 September, Mukim Connect akan berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, Daerah Belait.

Mukim Connect akan mengakhiri sesinya pada 14 September di Daerah Temburong, di mana ia diadakan di Dewan Kemasyarakatan Mukim Bokok dengan penyertaan Taman Negara Ulu Belalong Temburong dan Hengyi Industries Sdn. Bhd.

Kira-kira 12 buah syarikat, para pemimpin komuniti dan para pegawai dari JCB dijangka menyertainya. Antara syarikat-syarikat tersebut ialah Hengyi Industries Sdn. Bhd, The Lanes Hotel, Serikandi Oil Field Services, Hua Ho Department Store, Serikandi Café and Restaurant, Borneo United Enterprise Sdn Bhd, Bebeland, dan Aegis Secure Solutions Sdn Bhd.

Kesemua sesi Mukim Connetct akan berlangsung bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan 1:30 hingga 4 petang. Kesemua pencari kerja dialu-alukan ke acara tersebut dan digalakkan untuk membawa CV dan sijil-sijil berkaitan bagi mengetahui lebih dekat lagi peluang pekerjaan yang ditawarkan.