Tuesday, May 30, 2023
22.7 C
Brunei

    -

    Rebut peluang timba ilmu untuk terus berjaya

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Berbekalkan usaha, kegigihan dan kecekalan hati seseorang graduan setelah sekian lama bekerja keras selama beberapa tahun demi mencapai impian yang diharapkan, akhirnya mampu menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang.

    Graduan Universiti Teknologi Brunei (UTB) 2021 yang mendapat anugerah cemerlang sempena Majlis Konvokesyen UTB 2021, telah diraikan dalam Majlis Anugerah Cemerlang yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Dalam kegembiraan mendapat anugerah tersebut, pihak media berpeluang menemu bual beberapa graduan yang mendapat anugerah di majlis tersebut.

    Temu bual media dengan penerima Pingat Canselor, Dayang Rohadatul ‘aisy Nabilah binti Irwan melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah, kerana dengan izin-Nya jua beliau mampu menempuhi segala cabaran-cabaran semasa berada di universiti.

    “Anugerah ini merupakan salah satu kejutan, kerana saya tidak menyangka akan mendapatkan Pingat Canselor dan bersyukur segala usaha yang telah dilakukan adalah sangat berbaloi,” tambahnya.

    Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman menyampaikan Anugerah Staf Cemerlang Penghargaan Khas kepada Dr Dayang Syazana binti Abdullah Lim semasa majlis berkenaan.
    Dayang Rohadatul ‘aisy Nabilah penerima Pingat Canselor, Anugerah Pelajar Cemerlang dan Anugerah People Choice semasa Majlis Anugerah Cemerlang yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, baru-baru ini.
    Haji Mahran memanjatkan rasa syukur kepada Allah setelah menerima tiga anugerah iaitu Anugerah Cemerlang Universiti, Anugerah British Computer Society dan Anugerah BIBD sempena Majlis Konvokesyen UTB 2021.

    Ketika beliau berkongsi pengalaman sepanjang tempoh pengajian, banyak kenangan manis pahit dihadapi terutama sekali kenangan bersama dengan rakan sekursus yang juga menjadi salah satu penyuntik semangat belajar.

    “Dalam tempoh empat tahun di UTB, bermacam-macam aktiviti yang disertai dan salah satunya ialah UTB sports fiesta yang diadakan pada tahun 2017 yang mana saya pada waktu itu adalah satu-satunya kapten wanita dalam rumah sukan kelabu UTB.

    “Ia sangat mencabar kerana pada waktu itu saya baharu saja memasuki semester pertama yang mana banyak memainkan peranan kepimpinan dalam pengurusan pasukan tetapi ia adalah satu kenangan yang tidak dapat dilupakan kerana ketika itulah saya sebenarnya banyak belajar dan mula mengenali orang di sekitar UTB,” jelasnya.

    Di samping kejayaan mendapat Pingat Canselor ini, beliau juga mendapat dua anugerah lain Anugerah Pelajar Cemerlang dan Anugerah People Choice. Menurutnya pendorong utama di sebalik kejayaan beliau ini adalah kedua ibu bapa dan nenek beliau yang sentiasa menjadi penyuntik semangat dengan sentiasa memberikan nasihat, menyokong apa jua bidang yang diceburi dan aktiviti disertai.

    “Saya juga percaya berkat doa ibu bapa, saya mampu menempuhi segala cabaran sehingga mampu mencapai ke tahap ini,” tambahnya.

    Katanya lagi, “Untuk terus berjaya bukan hanya kerja keras dan belajar bersungguh-sungguh, tapi niat haruslah betul dan juga sentiasa memohon keredaan ibu bapa dan pendidik adalah rahsia kejayaan di dalam atau di luar kampus.

    “Sikap hormat kepada pendidik haruslah ditanai dan ditanam dalam diri kita sebagai seorang pelajar, kerana ia mencorakkan siapa diri kita di masa akan datang,” jelasnya.

    Untuk perancangan dan harapan seterusnya, beliau berharap untuk sentiasa berada di dalam lingkungan yang sentiasa mendorong ke arah kejayaan sama ada dalam bidang akademik mahupun kerjaya.

    “Walaupun bukan lagi berstatus pelajar tapi saya berharap akan dapat sentiasa belajar menjadi yang lebih baik dan perancangan setakat ini adalah untuk meneruskan lagi pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” kongsi Dayang Rohadatul ‘aisy Nabilah.

    Beliau turut memberi kata-kata semangat kepada pelajar di luar sana untuk sentiasa mencari ilmu daripada orang-orang di sekeliling sama ada pensyarah, rakan sekelas, senior, profesor dan lain-lain terutamanya semasa masih menuntut di universiti.

    “Rebutlah setiap peluang dan sentiasa berikan 100 peratus dalam apa yang dilakukan dan yang penting jangan malu untuk mendapatkan nasihat daripada rakan-rakan dan pensyarah. Sentiasa aktif menyertai kelab, pertandingan, memimpin pasukan, ini sangat penting untuk meningkatkan lagi daya saing agar lebih marketable,” tambahnya.

    Manakala temu bual media dengan Haji Mahran yang juga menerima tiga anugerah iaitu Anugerah Cemerlang Universiti, Anugerah British Computer Society dan Anugerah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) sempena Majlis Konvokesyen UTB 2021.

    Semasa ditemu bual, beliau sangat bersyukur kepada Allah dan rasa gembira berjaya menamatkan pengajian ditambah lagi dengan penerimaan anugerah ini, kerana beliau tidak menyangka akan menerima anugerah ini.

    Ketika ditanya mengenai impak COVID selama pengajian beliau di universiti, beliau berkongsi kesan yang jelas terasa adalah dari segi mengadaptasi norma baharu terutama sekali dalam pembelajaran dalam talian iaitu dari segi cara membahagikan masa untuk pembelajaran, rehat, berekreasi dan meluangkan masa dengan keluarga dan kawan-kawan.

    Kejayaan yang dicapai ini, jelasnya, adalah berkat dorongan dan peranan daripada kedua-dua ibu bapa ,adik beradik, penyelia, pensyarah, kawan-kawan dan rakan sekursus yang tidak kendur-kendur memberi semangat dan motivasi kepada beliau.

    “Dengan anugerah yang diperoleh ini, ia akan menjadi pendorong untuk terus berjaya dan dapat menamatkan pengajian di peringkat ijazah lanjutan yang diikuti pada masa ini,” jelas Haji Mahran.

    Semasa sesi temu bual ini diadakan, pihak media turut menemu bual salah seorang penerima Anugerah Staf Cemerlang 2021, Dr Dayang Syazana binti Abdullah Lim, yang tidak menyangka akan menerima dua anugerah iaitu Anugerah Teaching Excellence dan Anugerah Research Excellence Early Career Academic sempena Majlis Konvokesyen UTB kali ini.

    Dengan kedua-dua anugerah yang diperoleh, ia menjadi penyuntik semangat kepada beliau untuk terus berusaha dan memperbaiki apa yang perlu selain terus membuat kajian.

    “Ketika menjelaskan tentang penyelidikan, apa yang penting adalah kerjasama berpasukan selain mendapat sokongan dari pelajar dan pihak universiti, Insya Allah kita akan mencapai apa yang di harapkan,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Nepal sambut ulang tahun ke-70 pendakian Gunung Everest

    KATHMANDU, 29 MEI — Kerajaan Nepal hari ini memberi penghormatan kepada pendaki-pendaki pemegang rekod semasa sambutan pendakian pertama Gunung Everest 70 tahun lalu. Perayaan diadakan...
    - Advertisment -