Rebut peluang tunai ibadah korban

Oleh Salawati Haji Yahya

Dalam usaha meraih ganjaran ibadah korban, beberapa pihak di negara ini telah mengadakan majlis ibadah korban sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha, baru-baru ini.

Antara yang mengadakan majlis seumpamanya ialah Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan meraikan sambutan Majlis Ibadah Korban dan Aqiqah.

Hadir sebagai tetamu kehormat majlis, Naib Canselor, Universiti Brunei Darussalam Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz. Majlis turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan, kakitangan dan mahasiswa-mahasiswi UBD.

Sebanyak enam ekor lembu dan seekor kambing telah dikorbankan pada majlis tersebut, di mana seramai 42 orang peserta (40 orang bagi korban sunat dan dua orang bagi akikah) telah menyertai ibadah korban dan aqiqah berkenaan.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Jawatan kuasa Keagamaan Universiti Brunei Darussalam dan Jawatankuasa Takmir Masjid Universiti, UBD dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Persatuan Mahasiswa-Mahasiswi UBD.

Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina, mengagihkan daging korban kepada peserta.
Rektor UNISSA menyampaikan Anugerah Staf Cemerlang kepada salah seorang Tenaga Akademik UNISSA.
Dr Hajah Noor Maya, menyempurnakan pengagihan daging korban kepada peserta.
Antara yang hadir pada majlis yang berlangsung di KUPU SB.

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) turut mengungkayahkan majlis seumpamanya yang diselajurkan dengan Penyampaian Anugerah Khidmat Masyarakat Cemerlang 2018-2019 dan Anugerah Staf Cemerlang 2018.

Seramai 35 peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan UNISSA serta keluarga masing-masing telah mengorbankan lima ekor kerbau dan daging-dagingnya diagihkan kepada fakir miskin dan warga UNISSA.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan daging korban kepada peserta serta menyampaikan anugerah kepada penerima ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Acara tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Cemerlang Khidmat Masyarakat yang bertujuan untuk mengembangkan kreativiti mahasiswa/i melalui sumbangan buah fikiran dalam melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat dan lain-lain.

Anugerah Emas disandang oleh Majlis Perwakilan Pelajar UNISSA dengan projek: Ramadhan Food Drive, diikuti oleh Anugerah Perak dimenangi oleh Badan Pelajar Fakulti Bahasa Arab dengan projek: ‘Anfiquu Fi Sabilillah’ dan Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam dengan projek: Program Ziarah Mahabbah ke-5 menerima Anugerah Gangsa.

Sebanyak 16 projek Khidmat Masyarakat sepanjang tahun 2018 hingga 2019 telah dicalonkan. Acara juga diselajurkan dengan penyampaian Anugerah Staf Cemerlang 2018 UNISSA kepada 11 orang penerima bagi enam kategori.

Universiti Teknologi Brunei (UTB) turut tidak ketinggalan mengadakan majlis ibadah korban yang dianjurkan oleh Unit Keagamaan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Persatuan Mahasiswa-Mahasiswi UTB di Dewan Serbaguna, UTB.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Naib Canselor (Akademik) UTB, Dr Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan takbir dan taklimat bertajuk Bersama Meniti Siratul Mustaqim oleh Awang Azman bin Haji Kassim, penolong pensyarah dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Acara diakhiri dengan pengagihan daging korban kepada peserta-peserta termasuk tetamu yang telah dijemput.

Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) juga mengadakan Majlis Ihya ‘Eid Al Adha, sebagai menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT dan memperingati sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan melaksanakan ibadah korban dan menanamkan sifat amalan bersedekah terutama kepada golongan fakir miskin.

Hadir di majlis itu, Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar serta pegawai-pegawai Kanan di Kementerian Hal Ehwal Ugama, pegawai-pegawai utama, pensyarah dan mahasiswa/i KUPUSB. Majlis ini dianjurkan bersama Unit Perkembangan Syakhsiah Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Persatuan Pelajar yang mengorbankan dua ekor kerbau dan seekor kambing.