Rebut peluang wakili negara

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Para pemain bola keranjang remaja lelaki dan perempuan yang berbakat berpeluang untuk beraksi dan merebut peluang bagi mewakili Negara Brunei Darussalam ke Piala Bola Keranjang Pemimpin Belia International Basketball Foundation (IBF) yang akan berlangsung di Bali, Indonesia bermula 26 hingga 30 September nanti.

Sehubungan dengan itu, Perlawanan Kelayakan Brunei 3×3, Piala Bola Keranjang Pemimpin Belia IBF Edisi Kedua akan berlangsung pada 30 Jun di Dewan Bola Keranjang, Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA) bagi memilih wakil-wakil pemain remaja lelaki dan perempuan ke kejohanan itu nanti.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BBA, seperti tahun sebelumnya, kejohanan itu akan menyaksikan Kategori Lelaki Bawah 18 tahun dan Kategori Perempuan 18 tahun, di mana juara bagi kategori-kategori berkenaan akan memenangi peluang bagi mewakili negara ke Piala Bola Keranjang Pemimpin Belia IBF, di Bali pada September nanti.

Menerusi penyertaan mereka dalam kejohanan itu nanti, para pemain yang terpilih bukan sahaja berpeluang untuk mendapatkan pengalaman bola keranjang bertaraf dunia bahkan pemain-pemain juga akan mengambil bahagian dalam Seminar Kepimpinan Belia, di mana mereka akan mempelajari dan mengembangkan lagi kemahiran penting termasuk komunikasi, kerja berpasukan dan kepimpinan.

Sehubungan itu, kejohanan kelayakan berkenaan adalah dibukakan penyertaan kepada warganegara Brunei dan penduduk tetap Brunei yang mempunyai kad pengenalan Brunei yang sah.

Yuran pendaftaran bagi menyertai kejohanan itu adalah sebanyak $20 bagi kedua-dua kategori, dengan borang penyertaan boleh didapatkan daripada Ashley di talian 7178871 atau e-mel, ibf3x3brunei@gmail.com

Pihak penganjur menyatakan bahawa penyertaan adalah terhad dan oleh itu, menyeru pasukan-pasukan yang berminat supaya akan mendaftar secepat mungkin.