Rebutlah peluang pada malam 10 terakhir Ramadan

Nurdiyanah R.

Masa begitu cepat berlalu. Tahun ini kita menjalani puasa di bulan Ramadan dalam suasana yang sangat istimewa dan berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya.

Berlakunya penularan musibah pandemik koronavirus yang melanda umat Islam di seluruh dunia dan tidak terkecuali negara kita sememangnya tersirat keindahan hikmah padanya.

Segalanya dengan izin Allah SWT jua yang memberikan kita dapat berkumpul bersama ahli keluarga tersayang seperti dalam sama-sama mengerjakan ibadah sembahyang secara berjemaah di rumah atau kediaman masing-masing bagi menghidupkan suasana bulan yang penuh kerahmatan.

Keistimewaan Lailatulqadar

Sekarang, kita sudah berada di 10 malam akhir Ramadan. Ia menjadi kemuncak untuk mencari suatu malam yang sangat mulia, dengan beramal ibadat padanya lebih baik daripada 1,000 bulan. Ini terbukti melalui firman Allah SWT dalam Surah Al-Qadr, ayat 1-5 yang maksudnya:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam lailatulqadar dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatulqadar itu? Lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.”

Untuk meraih ganjaran malam lailatulqadar, seseorang selayaknya mengikhlaskan niat beribadah kerana Allah SWT, menyucikan jiwa daripada sifat mazmumah dan menghindari berbuat dosa – Gambar fail
Amalan membaca Al-Quran akan mendapat rahmat yang luar biasa seperti dijanjikan Allah SWT – Gambar fail

Sebagai hamba Allah kita mestilah sentiasa memperbanyakkan doa dan istighfar kepada Allah SWT daripada dosa silam yang membelenggu diri dengan memohon keampunan serta keredaanNya. – Gambar hiasan

Rasulullah SAW menganjurkan kita mendapatkan lailatulqadar, sebagaimana dapat difahami dalam satu hadis: “Sesiapa daripada kamu mencari lailatulqadar, hendaknya dia mencarinya pada 10 malam terakhir daripada Ramadan.” (Muttafaq alaih)

Dalil Al-Quran dan hadis ini menjadi petunjuk jelas mengenai keistimewaan malam yang mulia itu untuk dimanfaatkan sepenuhnya, sekali gus menambah kebaikan dalam menghiasi lembaran amalan kita masing-masing.

Menyucikan niat

Sehubungan itu, setiap umat Islam diseru agar menggunakan masa dan peluang yang ada dengan sebaiknya serta melakukan perkara yang berkebajikan pada bulan yang penuh kerahmatan ini lebih-lebih lagi dengan hati yang bersih dihiasi dengan jiwa kesyukuran dan pengharapan kepada Allah SWT dengan sepenuhnya.

Untuk meraih ganjaran malam Al-Qadr, seseorang selayaknya mengikhlaskan niat beribadah kerana Allah SWT, menyucikan jiwa daripada sifat mazmumah dan menghindari berbuat dosa. Dengan bersungguh-sungguh menyempurnakan kewajipan puasa pada siang hari selain menjaga seluruh anggota dan pancaindera daripada maksiat. Begitu juga menahan perut daripada makan makanan dan minuman yang syubhah apatah lagi yang haram terutamanya ketika berbuka puasa dan bersahur.

Antara amal ibadah yang perlu kita lakukan di bulan yang penuh kemuliaan ini ialah memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir, mengerjakan sembahyang fardu berjemaah dan tarawih di rumah bersama keluarga, qiamullail dan sembahyang sunat, membaca tahlil serta memperbanyakkan amalan bersedekah kepada yang memerlukan.

Kesemua ini pastinya mampu mendidik diri kita untuk menjadi seseorang umat yang memahami erti kesabaran dan keinsafan serta ketakwaan demi untuk memperolehi keredaan Allah SWT, lebih-lebih lagi dalam mengejar keistimewaan malam lailatulqadar.

Banyak berdoa dan beristighfar

Dalam pada itu sebagai hamba Allah kita juga mestilah sentiasa bermunajat memohon kepada Ilahi agar diberi kesempatan beribadah pada malam tersebut. Tanpa bantuan dan pertolonganNya kita mungkin tertidur, ditimpa sakit atau musibah. Malah tanpa bantuan dan inayahNya manusia yang lemah, leka dan cenderung melakukan dosa kemungkinan juga diselubungi sifat malas dan lebih rela tidur sepanjang malam.

Selain itu, banyakkan beristighfar memohon keampunan dan keredhaan Allah sehingga menimbulkan keinsafan dalam diri seraya membangkitkan motivasi untuk bersungguh-sungguh beramal demi mengingatkan bahawa ibadah yang telah dilakukan masih sedikit. Inilah juga kesempatan terbaik untuk setiap hamba memohon keampunan kepada Allah SWT daripada dosa silam yang membelenggu diri.

Rebutlah peluang sebaiknya

Meskipun Ramadan kali ini, umat Islam diuji dengan pandemik koronavirus tetapi ia sepatutnya tidak melemahkan semangat umat Islam untuk meraih rahmat dan keberkatan, menyucikan jiwa, diri dan akhlak daripada sifat-sifat yang keji yang bukan sahaja memberikan implikasi negatif kepada diri, bahkan juga keluarga dan masyarakat. Oleh itu tersangatlah rugi jika kita tidak merebut peluang itu, bahkan membiarkan peluang itu pergi begitu sahaja.

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama berdoa semoga segala amalan termasuk puasa kita diterima oleh Allah SWT dengan sempurna. Bagi yang belum menunaikan zakat fitrah pula bersegeralah menunaikan kewajipan sebelum tamat tempoh ditetapkan. Ambil jugalah peluang terakhir di penghujung Ramadan untuk bermunajat dan berdoa moga dipanjangkan umur dalam ibadah dan terpilih untuk bertemu Ramadan lagi pada tahun-tahun mendatang.