Reda dengan pembatalan filem Nur

Pelakon terkenal Syafiq Kyle reda filem Nur yang sepatutnya memulakan penggambaran tahun depan dibatalkan.

Menurut bintang utama yang membawa watak Ustaz Adam dalam drama bersiri Nur dan Nur 2 itu, dia tidak terkejut apabila sutradara Shahrulezad Mohameddin memaklumkan perkara itu baru-baru ini.

“Pengarah maklumkan awak perkara ini dan saya anggap tiada rezeki kami untuk menjayakan filem Nur. Sebagai pelakon, saya percaya keputusan itu dibuat selepas perbincangan semua pihak yang terbabit,” katanya kepada media.

Mengulas perancangan drama bersiri Nur 3 dan teater muzikal Nur pula, Syafiq berkata, dia sedia pertimbangkan jika ada tawaran.

“Setakat ini, Shahrulezad belum buka cerita mengenai projek drama atau teater muzikal. Seperti yang umum sedia maklum Ustaz Adam watak utama dalam Nur.

Pelakon utama yang pernah memainkan peranan penting dalam drama Nur 1 dan 2. – Agensi

“Cuma, jika benar ada sambungan, saya harap biarlah jalan ceritanya lebih menarik bagi mengelakkan orang anggap cerita Nur sudah basi nanti,” katanya.

Sementara itu, Amyra Rosli yang melakonkan watak Nur mengakui akur dengan keputusan pembatalan projek itu. “Saya tidak kecewa dan anggap tiada rezeki untuk berlakon dalam filem Nur.

“Saya yakin pembatalan filem Nur ada hikmah di sebaliknya dan pasti ada naskhah yang lebih baik menanti lepas ini. Saya dimaklumkan projek ini dibatalkan pada Oktober lalu,” katanya.

Ditanya sama ada dia ada menolak tawaran berlakon kerana mahu memberi laluan kepada filem Nur, Amyra menafikannya.

“Saya dilamar menjayakan filem Nur ketika hamil anak kedua dan sedang berehat daripada berlakon. Pengarah ada maklumkan penggambaran akan bermula pada Mac 2020, dua bulan lepas saya bersalin,” katanya.

Menurut Amyra sekiranya drama Nur ada sambungan selepas ini, dia tidak akan menolak untuk sama-sama terbabit kerana suka bekerja dengan Shahrulezad. – Agensi