Thursday, February 9, 2023
22.8 C
Brunei

-

‘Reda dengan ujian Allah’

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JAN – Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah, ujian hidup di dunia.

Allah SWT menguji seseorang itu kerana Allah mempunyai rahsiaNya tersendiri, dan kerana sesuatu ujian itulah yang mendidik kitani supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan.

“Allah SWT maha mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Oleh itu, segala nikmat dan ujian, sama ada suka ataupun duka, susah ataupun senang, cepat ataupun lambat, semua itu mempunyai hikmah tersendiri yang mesti disyukuri dan diredai serta diterima dengan hati yang penuh ikhlas.

“Sesungguhnya jika kitani reda terhadap qada dan qadar yang telah ditentukan oleh Allah SWT, maka kitani juga memperolehi keredaan Allah SWT.”

Ini merupakan antara intipati tazkirah bertajuk ‘Reda dengan ujian Allah’ yang disampaikan oleh Guru Ugama Tingkat II, Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Masfourteen bin Haji Mohammad Yussof semasa Program Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), malam tadi.

Hadir pada program berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Malam Munajat minggu ini juga mengundang Penasihat Bersama Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching, Dato Paduka Haji Mohammad bin Haji Serudin selaku tetamu khas, yang juga mengepalai bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, dari Masjid Kampung Sungai Hanching.

Juga menyertai acara ialah belia-belia dan ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching, serta pegawai, guru dan pelajar Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah.

Selain itu, jemaah dari 101 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat seluruh negara, serta warga KHEU berserta keluarga dari kediaman masing-masing turut menyerikan program. Malam Munajat mengajak orang ramai melipatgandakan amalan seharian dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran, berdoa, berzikir dan beristighfar, semata-mata untuk memohon keampunan, perlindungan, rahmat dan keredaan Allah SWT.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menyertai Malam Munajat minggu ini.
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Nahas Pesawat Boeing 737, 2 Juruterbang selamat

PERTH, AUSTRALIA, 7 FEB - Dua juruterbang terselamat, hanya cedera ringan selepas pesawat Boeing 737 yang dihantar untuk memadam kebakaran terhempas di Australia, kata...
- Advertisment -