Redah 70km jalan tanah merah untuk program vaksinasi

KOTA MARUDU, 23 JUN – Petugas Pejabat Kesihatan Kota Marudu sanggup meredah jalan tanah merah kira-kira 70 kilometer dari pekan daerah ini, dengan keadaan bentuk muka bumi berbukit bukau semata-mata ingin melaksanakan program vaksinasi buat penduduk di pedalaman Sonsogon, di sini.

Perjalanan mengambil masa kira-kira tiga jam dengan menaiki pacuan empat roda itu tidak menghalang semangat petugas kesihatan terdiri daripada doktor danjururawat serta beberapa wakil badan bukan kerajaan bagi memperluaskan manfaat program itu kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Program berlangsung tiga hari bermula semalam itu bertujuan memastikan tiada seorang pun rakyat termasuk penduduk di lima mukim dalam kawasan Sonsogon tercicir daripada menerima suntikan vaksin COVID-19 disediakan kerajaan. 

Mukim Kampung Sungai Magandai menjadi lokasi pertama mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili ketika berucap melancarkan program itu berkata seramai 300 orang di sekitar kawasan itu dikenal pasti sebagai penerima vaksin bagi fasa pertama Program Jangkauan Komuniti Vaksinasi COVID-19 Kota Marudu.

“Terdapat lebih 700 penduduk dari lapan kampung di kawasan perbukitan ini…daripada jumlah itu, sekitar 300 orang disasarkan untuk menerima vaksin di mukim ini,” katanya. – Bernama