Reds kekalkan momentum

LONDON, 18 OGOS – Liverpool melanjutkan permulaan sempurna mereka dalam perebutan gelaran Liga Perdana apabila Sadio Mane dan Roberto Firmino mengesahkan kemenangan 2-1 di Southampton, semalam.

Skuad Jurgen Klopp menyaingi rekod 11 kemenangan berturut-turut dalam perlawanan Liga Perdana, meneruskan momentum kemenangan 4-1 ke atas Norwich semasa perlawanan pembukaan musim minggu lepas.

Permulaan meyakinkan Reds musim ini telah meletakkan tekanan ke atas juara Manchester City.

Liverpool membuka jaringan pada masa kecederaan separuh masa pertama menerusi Sadio Mane, yang kembali menghantui bekas kelabnya dengan gerakan lincah serta sepakan melencong ke sudut gawang.

Firmino menggandakan kelebihan pasukan dengan gol liga ke-49 bersama Liverpool, yang menyaksikannya menerima hantaran daripada Mane dan mengelecek beberapa orang pemain pertahanan sebelum melepaskan rembatan gol pada minit ke-71.

Penjaga gol Liverpool, Adrian diturunkan sebagai penjaga gol perlawanan meskipun mengalami kecederaan buku lalu selepas seorang penyokong melanggarnya semasa meraikan kemenangan ke atas Chelsea di Istanbul.

Tetapi Adrian, yang menggantikan Alisson Becker, melakukan kesilapan pada minit ke-83 apabila dia membuat hantaran panik terkena Danny Ings, sekali gus menyaksikan bola melantun masuk ke gawangnya yang kosong. – AFP

Antara aksi menarik dalam perlawanan di antara Liverpool dan Southampton yang berkesudahan Reds menang 2-1. – AP