Thursday, February 20, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Reds kembali ke tangga ketiga

    WEST BROMWICH, 17 April – Roberto Firmino meledak jaringan tunggal kemenangan 1-0 Liverpool ke atas West Bromwich Albion, sekali gus membawa skuad Jurgen Klopp ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris.

    Firmino melengkapkan pertemuan agak membosankan menerusi tandukan dari jarak dekat pada masa kecederaan babak pertama dan menghadiahkan bos West Brom, Tony Pulis kekalahan pertama musim ini di laman sendiri.

    Pemain dari Brazil itu menyempurnakan gerakan yang berpunca daripada sepakan percuma untuk Liverpool meraih kemenangan kelima daripada tujuh perlawanan terakhir.

    Skuad The Reds masih belum tewas sejak kekalahan kepada Leicester City pada lewat Februari lalu dan kini mendahului kelab di tangga keempat, Manchester City dengan kelebihan dua mata sekali pun skuad Pep Guardiola kurang satu perlawanan.

    Pada perlawanan itu, West Brom terlebih dulu memperoleh peluang apabila Liverpool gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya namun, hantaran Matt Phillips kepada Hal Robson-Kanu gagal dilengkapkan penyerang Wales itu.

    Liverpool mula menguasai permainan selepas itu namun Phillips sekali lagi membuat cubaan namun rembatan jarak jauhnya tersasar.

    Pelawat sepatutnya di depan pada minit ke-15 namun gerakan yang dimulakan Lucas bersama Philippe Coutinho tidak berjaya menggugat penjaga gol West Brom, Ben Foster yang akhirnya tewas pada masa kecederaan.

    Bersambung babak kedua, Divock Origi berpeluang untuk menggandakan kelebihan pelawat di awal permainan namun rembatan kaki kanannya jauh tersasar.

    James Milner juga patut meletakkan namanya selaku penjaring apabila bijak menyambut hantaran Firmino, namun rembatan voleynya sekadar melepasi palang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda