Reds lepas geram

LIVERPOOL, 10 Feb – Liverpool bangkit daripada keputusan yang kurang memuaskan beberapa perlawanan sebelum ini dengan menewaskan Bournemouth 3-0 pagi tadi, sekali gus merampas kedudukan puncak Liga Perdana Inggeris daripada Manchester City.

Sadio Mane, Georginio Wijnaldum dan Mohamed Salah meledak gol buat The Reds ketika skuad kendalian Jurgen Klopp itu tidak menampakkan sedikit tanda-tanda gemuruh dan kesilapan dalam beberapa perlawanan seri 1-1, masing-masing menentang Leicester dan West Ham, yang mengurangkan mata kelebihan mereka ke atas juara bertahan, City.

“Kami tahu kami tidak gembira dengan aksi kami dalam dua ke tiga perlawanan sebelum ini,” kata pengendali Liverpool, Klopp.

“Kami tidak mahu hanya melalui perlawanan hari ini, kami mahu mempamerkan aksi meyakinkan dengan rentak yang kami mahu. Itulah reaksi yang kami tunjukkan hari ini.”

Mane memecah kebuntuan pada pertengahan separuh masa pertama untuk menghilangkan rasa gemuruh di seluruh Anfield. James Milner membuat hantaran lambung dari sisi kanan disempurnakan oleh Mane dengan tandukan tajam menembusi gawang lawan.

Salah (dua kiri) mengelecek bola ketika menentang Bournemouth di Stadium Anfield. – Xinhua

Pemain tengah dari Belanda, Wijnaldum menggandakan jaringan buat The Reds, 11 minit sebelum tamat separuh masa pertama. Dia membuat penyudah cantik menerusi sepakan lambung memperdaya penjaga gawang Bournemouth, Artur Boruc.

Salah kemudian menjaringkan gol peribadinya yang ke-20 musim ini dan sekali gus meletakkannya dirinya sebagai penjaring terbanyak liga, tiga minit selepas separuh masa kedua disambung menerusi hantaran cantik dari belakang Firmino.

“Dia tidak dapat dikawal ketat,” kata Klopp mengenai Salah.

“Ia adalah cara permainan yang kami mahukan daripadanya. Bukan hanya untuk menjaringkan gol, tetapi sebagai pemain perancang juga.

“Saat dia menjaringkan, saya tidak fikir anda akan dapat memperoleh aksi pemain seperti apa yang dilakukan oleh Bobby (Firmino) pada saat itu,” tambahnya.

Skuad kendalian Klopp tidak akan beraksi sehingga menerima kunjungan dari Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara dalam tempoh 10 hari.

Kesegaran bagi para pemainnya mungkin dapat memacu kejuaraan Liverpool musim ini dengan 12 baki perlawanan. – AFP