LIVERPOOL, 8 Mei – Pemain Liverpool, James Milner gagal menyudahkan penalti ketika pasukannya mensia-siakan peluang dalam usaha mereka melayakkan diri ke Liga Juara-Juara dalam satu perlawanan kurang menarik yang berakhir dengan seri 0-0 dengan Southampton semalam.
Pasukan Jurgen Klopp mempunyai peluang keemasan untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam mengakhiri musim di empat pasukan teratas.
Tetapi Reds kurang meyakinkan di Anfield, perlawanan yang lebih diingati dengan aksi Fraser Forster menyelamatkan penalti Milner.
Ia adalah penalti pertama yang gagal disudahi oleh Milner sejak November 2009, ketika dia masih bermain untuk Aston Villa menentang Bolton, dan menyimpulkan ia bukan hari Liverpool.
Liverpool memintas Manchester City ke tangga ketiga dengan 70 mata, namun City mempunyai kelebihan satu perlawanan di tangan.

Philippe Coutinho memulakan perlawanan meskipun mengalami kecederaan kaki ketika menentang Watford minggu lepas, namun dia tidak memberikan impak ketara dalam perlawanan itu di mana tidak seorang pun pemain jersi merah menonjol.
Liverpool gagal menjaringkan gol ke atas Southampton dalam tiga pertembungan terakhir mereka musim ini, sekali dalam Liga Perdana dan dua perlawanan dalam peringkat separuh akhir Piala Liga.
Di awal perlawanan ini menyaksikan kedua-dua pasukan tidak berada menunjukkan semangat menyerang.
Hakikatnya, perlawanan semalam jelasnya menggambarkan pergelutan Liverpool menentang pasukan yang kurang kaliber dalam Liga Perdana, terutamanya pasukan yang lebih mahukan satu mata, seperti yang dilakukan Southampton di sepanjang perlawanan tersebut. – AFP