Reds terus berjuang

LIVERPOOL, 8 Feb – Sepuluh hari selepas mensia-siakan peluang untuk melebarkan jarak tujuh mata di tangga teratas Liga Perdana Inggeris, Liverpool kembali ke Anfield dengan mengekori Manchester City apabila pasukan Bournemouth mengunjungi Merseyside itu, esok.

Selepas melakarkan rekod sempurna 16 kemenangan berturut-turut menentang pasukan di luar kelompok enam teratas untuk memulakan musim, keputusan seri 1-1 berturut-turut menentang Leicester dan West Ham telah membuka ruang kepada Citizens dan Spurs yang menghuni tangga ketiga untuk menangguhkan penantian selama 29 tahun The Reds bagi memenangi gelaran liga.

Hanya Manchester United boleh bermegah dengan lebih banyak gelaran liga berbanding Liverpool dengan 18 kejuaraan, tetapi pasukan kendalian Jurgen Klopp itu perlu mencari jalan untuk mengukuhkan kedudukan yang mendesak bagi menamatkan kemarau hampir tiga dekad, berbanding membiarkan perasaan gemuruh mengusai para pemainnya.

Ketegangan sudah jelas kelihatan di tempat duduk penonton, selain di kalangan para pemain di atas padang selepas secara mengejut tercicir sejak seminggu lalu.

“Anda merasakan perasaan gementar itu dan juga daripada penonton, dan saya rasa ia tidak semestinya berlaku pada ketika ini,” kata pemain pertahanan Virgil van Dijk selepas dua dari mata tersebut dilepaskan di gelanggang sendiri menentang Leicester.

Reaksi pengurus Liverpool, Klopp semasa perlawanan Liga Perdana menentang West Ham United di London Stadium pada 5 Februari 2019. – AP

“Jelas semua orang mahu menang dan ia apa yang kami mahukan tetapi kadang kala anda perlu bersabar.”

Klopp juga mengakui selepas terikat di West Ham pada Isnin lalu, pasukannya perlu ‘menikmati’ persaingan itu berbanding merasa takut dengan akibatnya.

“Ia bukanlah mengenai tekanan, ia adalah mengenai keadaan yang anda hadapi ketika ini,” kata Klopp.

“Kami mengutip 62 mata, tewas satu perlawanan sepanjang musim setakat ini, yang mana itu adalah sangat positif.”

Klopp dan Van Dijk telah menjadi tonggak utama dalam kemaraan The Reds pada musim ini, namun mereka tetap optimis mengenai gelaran yang sebelum ini tercicir dari tangan Liverpool yang jelas pada musim 2008/09 dan 2013/2014. – AFP