Reds unggul di puncak liga, Mane jaring gol ke-100

LIVERPOOL, 19 SEPT – Jurgen Klopp memuji Sadio Mane selepas bintang Senegal itu menjaringkan gol ke-100 bersama Liverpool ketika membantu meraih kemenangan 3-0 ke atas Crystal Palace semalam sekali gus mengungguli kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Jaringan Mane itu muncul ketika dia membuat penampilan ke-224 untuk The Reds pada hujung separuh masa pertama di Anfield.

Penyerang Mesir, Mohamed Salah dan pemain tengah Guinea, Naby Keita masing-masing menjaringkan gol pada separuh masa kedua untuk meletakkan skuad bimbingan Klopp mengungguli tiga mata di puncak liga dengan Manchester City di tangga kedua.

Ia adalah kali kesembilan berturut-turut Mane berjaya meledakkan gol ketika bertemu Palace.

Namun apa yang lebih penting bagi Klopp, Mane sudah menjaringkan empat gol pada musim ini sekali gus memberi bayangan dia sudah bersedia untuk melupakan kempen mengecewakan pada musim lalu.

perlawanan EPL di Stadium Anfield, Liverpool, semalam. – AP

“Ramai yang mungkin lupa sepanjang 100 gol ini dia sangat bekerja keras, bertahan untuk kami, memberi tekanan, mencipta jaringan dan membuat peluang, jadi 100 gol itu hanya satu faktor sahaja, banyak lagi angka yang penting dilakukannya,” kata Klopp.

“Saya sangat gembira kerana dia mampu mencapainya. Pencapaian yang hebat untuk kelab ini apabila hanya 18 pemain sahaja mampu menjaringkan 100 gol.

“Pada masa sekarang pemain tidak selalunya kekal lama di kelab, jadi saya sangat gembira dapat bekerjasama dengannya dalam tempoh yang lama.”

Selepas kekecewaan dengan kecederaan pemain utama Livepool musim lalu untuk mempertahankan gelaran EPL, mereka kembali mengejar untuk mendapatkan kembali trofi daripada Manchester City.

Skuad bimbingan Klopp memulakan kempen musim ini tanpa sebarang kekalahan apabila mencatatkan empat kemenangan daripada lima perlawanan dengan hanya bolos sekali dan meledak 12 gol.

“Kami tidak berada di sini untuk mensia-siakan peluang. Kami berada di sini untuk menentang pasukan Crystal Palace yang sangat kuat,” kata Klopp.

“Saya memberitahu pasukan, ini adalah salah satu perlawanan paling sukar 3-0 yang pernah saya lihat. Saya sangat gembira.” – AFP