Thursday, February 9, 2023
22.8 C
Brunei

-

Refleksi diri melalui seni kontemporari

LOS ANGELES – Menyaksikan matahari terbenam di tepi pantai merupakan antara aktiviti yang kerap dilakukan di bandar ini. Namun salah satu tarikan utama bagi penggemar seni kontemporari adalah Muzium Broad yang terletak di tengah bandaraya itu dan ia jelas menerima ramai kunjungan terutama pada waktu cuti musim panas ini.

Bangunan muzium yang memiliki reka bentuk binaan seperti sarang lebah dan memiliki ukuran 1,1000 meter persegi itu dibina dengan kos sebanyak AS$140 juta hasil dana yang disumbangkan oleh pasangan filantropi dan pengumpul seni, Eli Broad dan Edythe Broad sekaligus merupakan salah satu mercu tanda seni di bandaraya yang cukup terkenal dengan nama julukannya, City of Angels itu.

“Kami memang berhasrat untuk mengongsikan koleksi seni kontemporari bersama dengan para pencinta seni yang lain,” jelas Broad kepada Xinhua yang juga turut mendermakan 2,000 hasil karya seni mereka yang merupakan koleksi peribadi mereka termasuk Infinity Mirrored Room karya Yayoi Kusama, Marilyn Monroe karya Andy Warhol dan Ballon Dog karya Jeff Koons.

“Seni hebat setentunya membangkitkan semangat dalam kehidupan malah melalui seni juga boleh memberikan ilmu kepada para penghayatnya sekaligus memberikan peluang kepada saya untuk melihat dunia dari perspektif yang berbeza dan meluangkan masa untuk menghayati seni ini setentunya merupakan satu pengalaman yang cukup berharga,” jelas Broad.

Antara karya seni kontemporari yang dipamerkan di Muzium Broad.
Antara karya seni kontemporari yang dipamerkan di Muzium Broad.
Ruang dalaman Muzium Broad yang memiliki seni bina yang sangat menarik.
Ruang dalaman Muzium Broad yang memiliki seni bina yang sangat menarik.

Muzium Broad yang terletak di tengah bandaraya menjadi satu tarikan kepada penggemar karya-karya seni kontemporari.
Muzium Broad yang terletak di tengah bandaraya menjadi satu tarikan kepada penggemar karya-karya seni kontemporari.

Broad yang memiliki rangkaian syarikat itu menduduki tangga ke-65 dalam senarai individu terkaya oleh Forbes pada tahun 2015 dan merupakan salah seorang pengumpul terkemuka di AS malah juga di peringkat dunia.

Bagi memudahkan akses kepada muzium tersebut maka tiada sebarang bayaran dikenakan untuk menghayati sebarang seni yang ditampilkan di muzium itu sejak pembukaannya pada September 2015.

Datuk Bandar Los Angeles, Eric Garcetti mengiktiraf Muzium Borad sebagai satu lambang penyatuan kepada penggemar seni kontemporari di mana setentunya ia boleh menjadi satu penarik kepada mereka untuk mengunjungi dan menghayati sendiri karya seni di bandar raya itu.

Muzium itu menampilkan begitu banyak koleksi seni berharga dari era selepas perang sehingga kontemporari dan telah berjaya menerima lebih daripada 1.2 juta pengunjung dalam tempoh dua tahun pembukannya.

Pada tahun pembukaannya, muzium itu telah berjaya menarik seramai 820,000 pengunjung di mana 13 peratus daripadanya adalah terdiri daripada pengunjung antarabangsa.

Malah, ia juga merupakan satu penghargaan apabila muzium tersebut juga turut tersenarai sebagai 80 muzium seni popular di dunia dan antara 15 muzium terbaik di AS hanya setahun selepas ia dirasmikan.

Purata umur pengunjung yang mengunjungi muzium tersebut adalah 33 tahun dan ia adalah purata 12 tahun lebih muda berbanding kebanyakan pengunjung di muzium yang lain.

“Hakikatnya, ramai pengunjung pasti akan kembali kerana ia merupakan satu pengalaman yang sangat istimewa terutama apabila para pengunjung yang akan mengambil peluang untuk menghayati keindahannya sebagai cara merenung diri mereka di mana ia dianggap sebagai satu refleksi diri,” jelas Broad kepada Xinhua berhubung mengenai muzium tersebut yang mempamerkan 250 ke 300 karya seni yang berharga.

Broad, 84 telah mengunjungi China sebanyak tiga kali dan turut mengambil kesempatan untuk mengunjungi beberapa buah muzium dan galeri di Beijing, Shanghai dan Hong Kong.

“Saya berasa sangat kagum terhadap karya yang dihasilkan oleh beberapa orang artis kontemporari China, jelas Broad kepada Xinhua.

Muzium Broad bukan hanya menjemput orang awam dari seluruh dunia untuk menghayati sendiri keindahan seni kontemporari di Los Angeles malah ia juga turut meminjamkan karya seninya ke beberapa buah muzium di negara lain. Sehingga kini beberapa artifak yang dipamerkan di muzium ini turut dipinjamkan bagi dipamerkan di 500 buah muzium dan galeri di seluruh dunia.

“Seni wajar untuk dikongsi bersama di peringkat antabangsa tanpa sebarang halangan dan dari situ kami telah membuat keputusan untuk meminjamkannya kerana tidak hanya ingin memerap seni itu malah cuba untuk mengongsikannya kepada masyarakat di seluruh dunia tidak kira sama ada mereka di AS ataupun di tempat lain,” jelas Broad di hujung temu ramah. – Xinhua

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Nahas Pesawat Boeing 737, 2 Juruterbang selamat

PERTH, AUSTRALIA, 7 FEB - Dua juruterbang terselamat, hanya cedera ringan selepas pesawat Boeing 737 yang dihantar untuk memadam kebakaran terhempas di Australia, kata...
- Advertisment -