PUTRAJAYA, 16 JAN – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memberi tumpuan kepada dua perkara utama tahun ini iaitu mereformasi industri padi dan beras negara, serta meningkatkan produktiviti ruminan, terutamanya pengeluaran daging lembu dan kerbau.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata reformasi industri padi dan beras negara tidak hanya bertujuan memastikan kemandirian bekalan, tetapi juga untuk membawa industri itu ke tahap lebih tinggi dengan mengutamakan pendekatan yang lebih lestari, berdaya saing dan mesra alam.
“Tumpuan utama kita adalah padi dan beras kerana penggunaannya di Malaysia meningkat terutamanya kita tahulah, pekerja-pekerja asing yang datang ke negara ini suka makan nasi sama ada Bangladesh, Nepal, Myanmar, Indonesia dan beberapa negara yang lain.
“Oleh itu, penggunaan beras bertambah dan pengeluaran padi perlu kita tingkatkan kerana kita perlu capai pengeluaran beras negara sehingga 71 peratus berbanding sekarang, 56 peratus dengan kebelakangan ini pula berlaku banjir dan kemarau berturut-turut yang menyebabkan berlaku kekurangan hasil,” katanya kepada media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 KPKM, di sini hari ini.
Beliau berkata KPKM telah merangka empat komponen bertujuan meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah, serta menjamin keterjaminan bekalan beras negara. – Bernama
