Reformasi Sistem Imigresen, buruh giat dilaksanakan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan serta Jabatan Buruh pada masa ini sedang giat melaksanakan Sistem Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (INRS) dan Sistem Pengurusan Buruh Kebangsaan (NLMS) yang akan diguna pakai dalam tempoh yang terdekat tahun ini.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menjelaskan, dengan adanya sistem tersebut itu nanti, ia akan dapat mengatasi perkara-perkara mengenai pemprosesan kemasukan pekerja asing dan juga boleh menutup ruang dan peluang kemungkinan terdapatnya penyalahgunaan kuasa oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Yang Berhormat Pehin mengongsikan perkara berkenaan semasa sesi muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Jabatan Daerah Brunei dan Muara, hari ini, di mana beliau mengongsikan mengenai pelaksanaan pelan strategik Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).

Beliau berkata, tahun ini adalah tahun terakhir tempoh perlaksanaan Pelan Strategik KHEDN 2017-2021 dan tahun ini adalah tahun yang amat signifikan bagi kementerian menilai pencapaian sasaran pelan strategik berkenaan, mengenalpasti faktor-faktor yang menyumbang kepada kejayaan dan kegagalan pencapaian, menganalisa isu-isu dan masalah-masalah yang berkaitan dengan pelaksanaannya.

Analisa berkenaan, jelas beliau, adalah mustahak untuk menjadi panduan dalam kementerian ini berusaha menyediakan Pelan Strategik 2022–2026 pada tahun ini.
Pada sesi muzakarah berkenaan, beliau mengongsikan pencapaian yang telah dicapai selaras dengan pelan strategik bagi tahun 2017–2021 di mana KHEDN masih lagi dalam proses melaksanakan beberapa rancangan, manakala sebahagiannya dijangka akan dapat diselesaikan pada tahun ini.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika berucap semasa sesi muzakarah tersebut.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara serta kakitangan KHEDN ketika sesi bergambar ramai.

Sementara, sebahagiannya pula tersasar dari tarikh awal pelaksanaannya, walau bagaimanapun, tekan beliau, kementerian berkenaan akan terus komited dan mengambil langkah yang bersepadu bagi merealisasikan setiap perancangan yang telah digariskan terus dapat dilaksanakan.

Yang Berhormat Pehin juga telah menyentuh mengenai jumlah banduan atau tahanan di institusi-institusi penjara yang mana sehingga 28 November 2020 terdapat seramai 841 banduan, melebihi kapasiti maksima iaitu dalam 585. Menurut beliau, beberapa usaha sedang diteliti untuk menangani masalah kesesakan di institusi-institusi penjara berdasarkan pengalaman dan amalan-amalan terbaik di negara-negara lain seperti memperkenalkan sistem parol iaitu pelepasan bersyarat yang membolehkan banduan menjalani baki hukuman di luar penjara. Jabatan Penjara juga telah secara proaktif membuat perancangan untuk menubuhkan satu Bahagian Perintah Khidmat Masyarakat khususnya untuk melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat.

Menyentuh mengenai inisiatif meningkatkan institusi mukim dan kampung seperti pengisian jawatan penghulu mukim dan kampung dengan mengambil kira pentingnya penghulu dan ketua kampung sebagai pemimpin akar umbi, beliau berkata, Projek E-Undi dihasratkan bagi membantu mempercepatkan proses-proses pengisian jawatan dan diharap dapat digunapakai pada suku pertama tahun ini.

Mengenai dengan perkembangan sosioekonomi, beliau berkata, KHEDN dengan kerjasama Syarikat P Cube Sdn Bhd sedang menjalankan projek-projek merevitalisasi beberapa aset di kawasan pusat perniagaan Bandar Seri Begawan.

Dalam usaha memangkin perniagaan Satu Kampung Satu Produk (1K1P) pula, kongsi beliau, pada tahun lepas kementerian berkenaan dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darusalam (BIBD) telah menjalankan program transformasi 1K1P di mana 19 orang pengusaha dari keempat-empat daerah berjaya memperkenalkan dua produk iaitu produk klasik dan produk Premium 1K1P.

Antara lain objektif program berkenaan adalah bagi meningkatkan usahawan yang lebih kompeten dan menjadikan produk 1K1P yang berkualiti dari segi pengeluaran, pembungkusan, label dan persijilan. Menurut beliau, program transformasi yang kedua akan diadakan pada Februari depan.

Beliau turut mengongsikan, walaupun dalam keadaan COVID-19, pengutipan hasil dan tunggakan cukai bangunan ditetap diambil berat di mana, sehingga Disember 2020, lembaga-lembaga bandaran telah mengutip sebanyak $5,751,331.09 bagi kutipan hasil semasa dan $3,931,221.23 bagi hasil kutipan tunggakan.

Pada penghujung ucapannya, Yang Berhormat Pehin berkata, dengan mengambil kira suasana persekitaran yang sentiasa berubah selaras dengan kehendak dan keperluan semasa, penyediaan rangka Pelan Strategik KHEDN 2022–2026 akan dibuat secara komprehensif dengan mengambil kira aspirasi, inisiatif-inisiatif dan perancangan yang sedia ada termasuk daripada Pelan Induk Ekonomi 2025, Rangka Tindakan Ekonomi bagi Brunei Darussalam, pelan-pelan strategik kementerian-kementerian dan sebagainya dalam sama-sama merealisasikan matlamat negara khususnya dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035.

Di antara lain, tambah beliau, kementerian akan memantapkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan orang ramai, memantapkan sistem tahanan dan pengawalan penghuni, memperkukuhkan institusi mukim dan kampung dan meningkatkan prasarana-prasarana bagi mendukung sosioekonomi.