Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Regata Keputeraan meriahkan Sg Brunei

    Oleh Ak Zaki Kasharan & Mohammad Asyramisyanie

    Gambar oleh Muiz Matdani & Ak Zaki Kasharan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Dermaga Diraja di Bandar Seri Begawan hari ini dibanjiri ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara apabila Regata Brunei Darussalam kembali lagi menggegarkan Sungai Brunei sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke acara tahunan itu.

    Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.

    Keberangkatan Baginda berserta kerabat diraja dijunjung oleh Penasihat-penasihat Bersama Regata Brunei Darussalam; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof selaku pemangku Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Turut hadir menyaksikan regata tersebut ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Haji Mohammad Asfia bin Awang Nassar; Menteri Muda Pertanian Sarawak, Dr Haji Abdul Rahman bin Haji Ismail; ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau Limbang, Paulus Palu Gumbang dan Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denney bin Haji Ahmad Fauzi.

    Baginda Sultan, DYTM Pengiran Muda Mahkota, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan berangkat ke Regata Brunei Darussalam, sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-72. – Gambar oleh Infofoto
    Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan menyaksikan Regata Brunei Darussalam.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan melepaskan acara Lumba Perahu Tradisi Maraton 30 Pekayuh. Turut berkenan berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
    Pasukan perahu KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bersaing dengan perahu dikemudi DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah semasa menyertai Lumba Perahu Fiberglass Acara Khas 15 Pekayuh di Sungai Brunei. Turut berkenan menyertai lumba perahu kategori tersebut ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan berkenan menerima trofi naib johan bagi acara Lumba Perahu Fiberglass Acara Khas 15 Pekayuh.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan hadiah pemenang ke tempat ketiga bagi Acara Lumba Perahu Fiberglass Acara Khas 15 Pekayuh kepada pasukan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
    KDYMM berkenan mengurniakan hadiah pemenang tempat keempat bagi Acara Lumba Perahu Fiberglass Acara Khas 15 Pekayuh kepada pasukan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan trofi pemenang pertama bagi Acara Lumba Perahu Fiberglass Acara Khas 15 Pekayuh kepada pasukan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah. – Gambar oleh Khairil Hassan
    DYTM Pengiran Muda Mahkota ketika berkenan melepaskan acara Lumba Perahu Tradisi antara Kementerian-Kementerian 25 Pekayuh pada sebelah pagi.
    DYTM Pengiran Muda Mahkota ketika berkenan menyertai acara Lumba Perahu Fiberglass Acara Khas 15 Pekayuh. – Gambar oleh Rahwani Zahari
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyertai dalam Acara Lumba Perahu Fiberglass Acara Khas 15 Pekayuh.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan mengetuai pasukannya memenangi perlumbaan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut dijunjung oleh penasihat-penasihat bersama Regata Brunei Darussalam 2018 bagi menyertai Lumba Perahu Fiberglass Acara Khas 15 Pekayuh sebelum dijunjung ke Pentas Diraja bagi menyaksikan Lumba Perahu Fiberglass Belia-belia 30 Tahun ke Bawah 20 Pekayuh, Lumba Perahu Fiberglass antara Institusi dan Pengajian Tinggi 15 Pekayuh, Lumba Perahu Fiberglass Maktab-maktab dan Sekolah-sekolah Menengah 15 Pekayuh dan Lumba Perahu Fiberglass Belia-belia Terbuka 20 Pekayuh.

    Selain itu, Baginda Sultan turut dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ke hujung Pulau Si Bongor di perairan Sungai Brunei menaiki perahu khas bagi melepaskan acara Lumba Perahu Tradisi Maraton 30 Pekayuh sejauh 5km yang merupakan lumba perahu yang terakhir Regata Brunei Darussalam kali ini.

    Sejurus selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan untuk menyaksikan pameran di Galeri Seni Dermaga Diraja yang mempamerkan gambar dan potret lumba perahu yang telah diadakan pada Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta.

    Pameran yang bertemakan ‘Sungai Brunei Penghubung Budaya Warisan Brunei’ turut mempamerkan koleksi lukisan khas daripada pelajar-pelajar sekolah dan maktab yang terpilih.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja seterusnya dijunjung kembali ke Pentas Diraja bagi pengurniaan hadiah kepada pemenang perlumbaan Lumba Perahu Fiberglass Acara Khas 15 Pekayuh, yang mana juaranya adalah pasukan DYTM Pengiran Perdana Wazir. Pasukan Kebawah Duli Yang Maha Mulia mendapat tempat kedua diikuti dengan pasukan DYTM Pengiran Muda Mahkota di tempat ketiga dan Pasukan DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik di tempat keempat.

    Lumba Perahu Tradisi Maraton 30 Pekayuh pula dijuarai oleh Pasukan Olahraga Dayung Seluruh Indonesia Kalimantan Barat dari Republik Indonesia. Dalam pada itu, letupan gas berwarna-warni yang mewarnai perairan Sungai Brunei dan lintas hormat kapal-kapal dari pelbagai agensi kerajaan menandakan berakhirnya Regata Brunei Darussalam 2018.

    Antara perlumbaan perahu Regata Brunei Darussalam pada sebelah pagi.
    Sekitar aksi perlumbaan perahu bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan pada sebelah petang.
    Antara perlumbaan perahu yang diadakan pada sebelah pagi.
    Orang ramai tidak melepaskan peluang bagi menyaksikan sendiri Regata Brunei Darussalam di Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan.
    Kemeriahan Regata Brunei Darussalam turut dirasakan oleh para penonton di Kampong Ayer yang menyaksikan perlumbaan tersebut.

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada ahli-ahli jawatankuasa tertinggi sambutan dan jemputan khas.

    Terdahulu, pada acara di sebelah pagi, berkenan berangkat menyaksikan regata ialah DYTM Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Keberangkatan DYTM Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Penasihat-penasihat Bersama Regata Brunei Darussalam 2018; Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib dan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan.

    DYTM Pengiran Muda Mahkota kemudiannya dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bagi melepaskan acara Lumba Perahu Tradisi 25 Pekayuh antara Kementerian sebelum dijunjung kembali ke Pentas Diraja bagi menyaksikan Lumba Perahu Fiberglass 20 Pekayuh Antara Syarikat Swasta dan Lumba Perahu Tradisi Terbuka 30 Pekayuh.

    Sebelum berangkat balik, DYTM juga berkenan untuk mengurniakan hadiah-hadiah kepada pemenang perlumbaan lumba perahu bagi sesi pagi.

    Regata Brunei Darussalam kali ini diungkayahkan oleh Jawatankuasa Kebangsaan Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-72.

    Acara ini merupakan salah satu lagi di antara siri rancangan acara bagi memberi nilai tambah kepada Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Selain itu, Regata Brunei Darussalam yang diadakan setiap tahun ini bertujuan untuk mempromosikan sukan lumba perahu khususnya kepada golongan belia-belia dan generasi muda yang mana sukan ini telah menjadi satu sukan tradisi bagi negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda