Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Regu Malaysia sasar ulang pencapaian edisi 2020

    KUALA LUMPUR, 1 DIS – Gandingan profesional Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menyasarkan untuk mengulangi pencapaian edisi 2020 dengan mara ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2022 di Bangkok, Thailand pada 7 hingga 11 Disember ini.

    Walaupun menyedari bakal berdepan saingan sengit di peringkat kumpulan, Soon Huat berkata prestasi konsisten dalam setiap perlawanan bakal menentukan nasib mereka pada kejohanan akhir musim ini yang berlangsung di Nimibutr Arena.

    “Kita mesti mempunyai pemikiran yang positif dan kuat bahawa kita sentiasa sedia untuk bertanding.

    “Sudah tentu kami mahukan keputusan yang lebih baik. Kami akan fokus dan lakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan di Bangkok nanti,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Pada Jelajah Dunia Akhir 2020, beregu campuran negara yang kini menduduki ranking ke-11 dunia itu terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada pasangan dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung 21-19, 21-8 di Nonthaburi, Thailand.

    Hanya lapan pemain perseorangan atau beregu terbaik dalam ranking dunia, layak ke Jelajah Dunia Akhir 2022, dengan maksimum dua wakil negara bertanding dalam setiap kategori.

    Soon Huat-Shevon Lai yang menduduki ranking keempat diiringi satu lagi wakil Malaysia juga pasangan profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada kejohanan turut menyenaraikan juara bertahan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (Thailand) serta juara dunia Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping (China).

    Turut tersenarai ialah wakil tuan rumah, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran; Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari (Indonesia) dan Thom Gicquel-Delphine Delrue (Perancis) bagi merebut hadiah berjumlah AS$1.5 juta.

    Daripada keseluruhan 17 kejohanan disertai Soon Huat-Shevon pada tahun ini, mereka mara ke separuh akhir sebanyak tiga kali dan muncul naib juara selepas tewas kepada Mark Lamsfuss-Isabel Lohau dari Jerman di Terbuka Switzerland pada Mac lepas. – Bernama

    Soon Huat-Shevon menyasarkan untuk mengulangi pencapaian edisi 2020 dengan mara ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2022 di Bangkok, Thailand pada 7 hingga 11 Disember ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...