Regulator tong gas bocor

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Satu kejadian gas bocor telah dilaporkan berlaku di sebuah rumah di Kampung Sengkurong B, pada 21 Jun lalu.

Seramai enam orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh ASO Saini dari Balai Bomba Jerudong dikejarkan ke tempat kejadian setelah menerima panggilan pada pukul 6:59 petang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, anggota bomba dan penyelamat yang tiba di tempat kejadian mendapati kebocoran gas berlaku pada alat regulator tong gas di dalam dapur.

Anggota bertindak memakai satu set alat pernafasan dan seterusnya mengeluarkan tong gas ke tempat yang lebih selamat serta membuka semua pintu dan tingkap rumah bagi tujuan pengudaraan.

JBP dalam kenyataan itu, menyarankan orang ramai untuk memastikan hos LPG gas dan alat regulator mereka dalam keadaan baik dan diiktiraf oleh BSM, memastikan rumah mereka dilengkapi dengan selimut api, alat pengesan asap dan alat pemadam api jenis ABC debu kering 2 kilogram serta tidak menghidupkan sebarang peralatan elektrik atau menyalakan sebarang percikan api seperti pemetik api jika terhidu bau gas.

Orang ramai turut disarankan jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka hendaklah menghubungi terus talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan tong gas ke tempat yang selamat di tempat panggilan gas bocor di kawasan Kampung Sengkurong B pada baru- baru ini. – Gambar serahan JBP