Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Rehat minda dengan mainan lama, baharu di Tochigi

    MIBU, TOCHIGI – Daerah Mibu, wilayah Tochigi secara rasminya digelar Omochanomachi (kota mainan) kerana beberapa pengeluar mainan telah berpindah ke sana dan membina kompleks kilang-kilang.

    Muzium Mainan Mibumachi terletak kira-kira lima minit memandu dari Stesen Omocha-no-machi. Ia dihasratkan dapat memperkayakan semangat generasi yang bertanggungjawab terhadap abad ke-21.

    Muzium ini mempunyai kira-kira 60,000 benda, sama ada dipinjam atau didermakan oleh Persatuan Mainan Jepun di Tokyo atau pengeluar mainan. Daripada jumlah itu, kira-kira 9,000 dipamerkan sebagai pameran kekal dalam 10 bilik sehingga ke tingkat dua.

    Walaupun ia memasukkan perkataan ‘muzium’ pada namanya, jurucakap Takuho Hoshi, 51, berkata, “Kami juga menekankan permainan aktiviti fizikal untuk kanak-kanak.”

    Oleh kerana kanak-kanak boleh bosan hanya memandang mainan, terdapat sudut khas dalam lapan bilik di mana mereka boleh bermain dengan benda yang bertindak sebagai sambungan dari pameran kekal.

    Malahan pameran untuk hiburan orang dewasa juga diketengahkan. Kebanyakan mainan yang diperbuat daripada tin yang dipamerkan dihasilkan pada tahun 1960an.

    Terdapat mainan mekanikal yang membuatkan pengunjung tersenyum, seperti monyet yang bersenam dan lain-lainnya. Mainan-mainan tersebut kelihatan unik dan comel.

    Terdapat sebuah bilik yang menampilkan mainan dan benda lain yang dibuat di Mibu.

    Pengunjung dapat meninjau sejarah kota mainan sambil melihat siri mainan Chogokin yang pernah popular dan benda lain.

    Mainan yang direka bentuk secara universal yang dapat dinikmati oleh orang cacat penglihatan dan pendengaran juga dipamerkan secara kekal, termasuk kereta mini, figura binatang dan benda lain yang berfungsi melalui sentuhan.

    Pameran ini meluahkan hasrat pengeluar untuk memastikan “semua orang bermain bersama”.

    Kawasan tambahan juga menarik. Di bilik model kereta, terdapat dua diorama, satu pada skala 1/150 dan yang lain pada skala 1/80.

    Ada sebanyak 36 jenis kereta api, termasuk Shinkansen dan JR Sobu Line, yang boleh dioperasikan dengan bayaran, jadi peminat mainan itu pasti akan merasa seronok.

    Ibu bapa dan kanak-kanak pula pasti akan berpuas hati dengan kemudahan muzium mainan itu di mana mereka boleh menghabiskan sepanjang hari dikelilingi mainan.

    “Ini adalah tempat yang indah untuk melegakan fikiran awda,” kata Hoshi.

    Muzium Mainan Mibumachi dibuka pada tahun 1995. Ia bermatlamat menghimpun orang dewasa dan kanak-kanak dengan permainan dan belajar. – ANN/Japan News

    Muzium Mainan Mibu dibuat menyerupai istana zaman pertengahan barat.
    Kereta api laju Shinkansen dipamerkan dalam bentuk diorama.
    Pelbagai mainan tin kelihatan dipamerkan di muzium itu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...