BEIRUT, 6 Ogos – Tentera rejim Syria lewat semalam mengebom sebuah kawasan padang pasir yang dikawal oleh kumpulan IS berdekatan wilayah Sweida di selatan Syria, menurut sebuah badan pemerhati perang.
“Pengeboman dan pertempuran antara tentera rejim dan IS bertambah hebat pada sebelah petang dan berterusan,” kata ketua Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan bagi Syria, Rami Abdel Rahmane.
“Tentera rejim teruskan kemaraan mereka ke kawasan utara dan timur laut Sweida,” yang bersebelahan dengan zon padang pasir wilayah selatan, katanya kepada AFP.
Operasi ketenteraan ini adalah “permulaan serangan rejim bagi mengusir kumpulan IS dari kawasan ini” di gurun Badiya, Sweida, katanya, dengan menambahkan bahawa “pengukuhan pasukan tentera rejim berkelompok” di kawasan ini.
Pertempuran berlaku selepas rundingan Rusia telah gagal untuk membebaskan kira-kira 30 orang tebusan awam minoriti agama Druze, yang diculik IS bulan lalu. Penculikan itu menyusuli beberapa siri serangan yang diselaraskan ke atas wilayah Sweida yang mengorbankan lebih 250 orang.
Semalam, badan pemerhati dan laman sesawang berita Sweida24 melaporkan bahawa IS telah membunuh salah seorang tebusan, iaitu pelajar lelaki berusia 19 tahun.
Pembunuhan itu, yang pertama sejak penculikan, berlaku ‘selepas kegagalan rundingan bersama tentera rejim,’ menurut badan Pemerhati.
Pasukan Demokratik Syria, gabungan Arab-Kurdish bagi menentang IS, yang dibantu Amerika Syarikat semalam menyatakan, ia sudah bersedia untuk bertukar dengan para pejuang IS yang ditawan dengan tebusan awam Druze yang masih ditahan. – AFP