Oleh Amri HTZ –
Sebagai seorang pereka, tempat penyimpanan khusus barangan merupakan suatu yang perlu dimiliki bagi memastikan ruangan teratur dan mudah untuk didapatkan.
Terutamanya bagi barangan yang berukuran kecil, mempunyai kuantiti yang banyak dan selalu digunakan. Oleh itu bagi memanfaatkan kayu-kayu terpakai hasil daripada projek-projek sebelumnya, apa kata gunakan kayu-kayu tersebut untuk mereka almari mini yang boleh menyimpan pelbagai barangan di dalamnya.
Sedia barangan diperlukan
• Tukul
• Kayu terpakai
• Mesin pemotong kayu meja
• Teak oil
• Skru
• Drill press
• Alat pengapit
• Mesin router
• Papan lapis 8mm
• Alat pencabut paku
• Gam kayu
Cabut paku daripada permukaan kayu
Sebarang bahan berupa besi terdiri daripada paku, stapler mahupun skru perlu dibuang sebelum memulakan proses pemotongan atau pengetaman. Ini bagi memastikan bilah mesin tidak rosak selain serpihan yang terbang terutamanya besi dapat dielakkan demi keselamatan. (gambar 2)
Kayu-kayu tersedia kemudiannya akan dipotong dengan ukuran 15 sentimeter (cm) x 20cm dengan tinggi 8.5cm dan ketebalan kayu 2cm menggunakan mesin pemotong kayu.
Gunakan rip fence mesin sebagai panduan untuk memotong lebih daripada satu kayu yang mempunyai ukuran sama. Dengan langkah ini, proses pemotongan akan lebih cepat dan tepat. (gambar 3)
Pilih jenis teknik cantuman
Bagi memastikan cantuman potongan kayu nanti benar-benar kukuh dan mudah, teknik finger joints akan digunakan. Jarak ruangan dan besar setiap finger berukuran lebih kurang 12.7 milimeter (mm). Ukuran itu disesuaikan dengan besar mata router jenis straight bit. (gambar 4)
Langkah ini akan diikuti dengan mereka ruangan alur untuk kepingan kayu dimasukkan pada bahagian bawah kotak. Mata mesin router berukuran sama juga akan digunakan pada langkah ini. (gambar 5)
Almari mini untuk kotak
Memandangkan kayu terpakai digunakan dalam projek ini, jika lebar kayu yang diinginkan tidak dimiliki, gunakanlah dua atau tiga keping kayu yang dicantumkan menjadi satu menggunakan gam kayu. Bagi panjang keseluruhan almari mini adalah tertakluk kepada keperluan. Selain kayu biasa, papan lapis juga boleh digunakan bagi langkah ini. (gambar 6)
Bagi menjadikannya dua tingkat, kayu bahagian pembahagi (vertikal) almari dengan tinggi 17.12cm diperlukan. Pada permukaan kayu pembahagi bahagian tengah almari,alur akan direka menggunakan mesin router bagi memudahkan pemasangannya selain memperkukuh struktur keseluruhan almari. (gambar 7)
Cantum bahagian laci
Ketika proses mencantumkan bahagian laci, permukaan cantuman perlu disapukan keseluruhannya menggunakan gam kayu. Lebihan gam kayu perlu dibersihkan terus menggunakan kain basah dengan cara mengelapnya. Apabila kesemua sudut telah dicantumkan, kayu bahagian bawah laci kini boleh dikekalkan dengan paku kecil. (gambar 8)
Sebagai tambahan, bagi memudahkan laci tersebut ditarik keluar dari tempatnya, bahagian tengah (atas) permukaan depan laci akan dipotong dengan bentuk separa bulatan. Caranya cukup mudah, dengan menetapkannya pada permukaan kerja mesin drill press, awda hanya perlu memotongnya menggunakan holesaw berdiameter 1 ½ inci. (gambar 9)
Permukaan depan laci yang telah ditebuk akan diratakan semula menggunakan kertas pasir berukuran 150 grit. Ini bagi memastikan permukaan kasar terhasil daripada mata gerudi bebas daripada serpihan kayu tajam. (gambar 10)
Langkah akhir
Rekaan yang telah dicantum kini boleh disapu dengan wood finish pilihan untuk menimbulkan lagi ira-ira kayu. Selain itu, bagi awda yang inginkan pelbagai jenis barangan boleh disimpan dalam satu laci, ia boleh dipenuhi dengan cara meletakkan pembahagi. (gambar 11)
Tip pembuatan
• Menggosok keseluruhan permukaan rekaan menggunakan kertas pasir berukuran 400 hingga ke 800 grit akan menjadikan permukaan kayu lebih rata dan halus.
• Menyapu keseluruhan permukaan rekaan terutama laci almari mini bukan sahaja bagi melindunginya, malah memudahkannya untuk dimasukkan atau ditarik keluar.