Thursday, August 11, 2022
23.2 C
Brunei

Reka burung undan guna sudu, basikal lama

-

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Bahan buangan seharian seperti sudu, besi basikal lama dan botol plastik, boleh menjadi hasil ciptaan seni yang unik dan cantik sekali gus dapat membuka minda orang ramai tentang inisiatif kitar semula.

Pada masa yang sama, hasil kreativiti yang dihasilkan daripada bahan-bahan buangan itu akan dapat meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar.

“Saya tidak bermula dengan rekaan The Happy Pelican dalam fikiran saya tetapi inspirasi itu lahir daripada bahan-bahan buangan yang dapat saya kumpulkan dan gabungkan menjadi sebuah arca burung yang unik,” jelas pemenang tempat pertama Pertandingan Trash to Treasure, Awang Mohammad Al-Amin Afiq Safwat bin Abrahan semasa temu bual bersama Media Permata di Dewan Musyawarah, hari ini.

“Sebagai seorang guru rekaan dan teknologi, saya sering kali mengajar dan menggalakkan pelajar-pelajar saya untuk menggunakan bahan buangan dan bahan yang boleh dikitar semula dengan baik bagi menghasilkan seni mereka,” katanya.

Beliau mendedahkan bahawa rekaan The Happy Pelican diperbuat daripada besi dan bahagian basikal lama serta sudu dan botol plastik yang dibuang.

Awang Mohammad Al-Amin Afiq Safwat bergambar bersama rekaan kitar semula yang dinamakan The Happy Pelican.
Awang Mohammad Al-Amin Afiq Safwat bergambar dengan keluarganya selepas menjuarai Pertandingan Trash to Treasure, kelmarin. – Gambar serahan Mohammad Al-Amin Afiq Safwat

Menurutnya, bahagian tubuh utama bagi arca itu diperbuat daripada basikal, paruh diperbuat daripada kerusi basikal, lidah daripada lampu brek dan selebihnya daripada sudu dan botol plastik yang dibuang.

Jelasnya lagi, bahawa hampir 95 peratus bahan yang digunakan untuk menghasilkan arca seninya itu merupakan bahan buangan yang dikutipnya dan ia merupakan cabaran utama baginya untuk menghasilkan The Happy Pelican di mana ia mengambil masa tiga hari iaitu lapan jam sehari untuk menyiapkannya.

Pada masa yang sama, bagi beliau, ia juga merupakan satu peringatan yang amat baik untuk menerapkan amalan mengitar semula dalam diri kita semua.

Awang Mohammad Al-Amin Afiq Safwat turut mengongsi harapannya untuk menghasilkan arca seni yang boleh menjadi sebahagian daripada tarikan di pantai di mana orang ramai boleh merakamkan gambar bersamanya serta membawa kegembiraan kepada masyarakat sekeliling.

Mengulas mengenai rekaan yang dihasilkannya itu, beliau ingin ia melambangkan cintanya kepada alam semula jadi.

“Apabila saya menonton filem Deepwater Horizon di mana terdapat burung undan mati disebabkan tumpahan minyak, saya mahu menyampaikan mesej bahawa dengan air atau lautan yang tidak tercemar, semua binatang boleh hidup bebas dan kita boleh memainkan peranan untuk tidak memusnahkan habitat kehidupan liar,” jelasnya.

Selain daripada itu, beliau juga ingin orang ramai sedar bahawa apa yang kita fikirkan sebagai bahan buangan buruk boleh ditukarkan untuk menjadi sesuatu yang cantik.

Dengan hasil rekaannya itu, beliau berharap dapat merubah pemikiran mereka dan yakin karya seninya mampu untuk meninggalkan kesan yang mendalam dalam fikiran mereka.

Menyentuh mengenai kemenangan itu, beliau menyatakan ia merupakan satu kejutan yang indah dan amat bersyukur kerana segala pengorbanan dari segi masa dan tekanan untuk menyiapkan karya seni itu adalah amat berbaloi.

“Semua ini adalah atas sokongan keluarga dan pelajar-pelajar saya yang memberikan saya semangat untuk menyiapkan arca ini,” tambahnya.

Beliau menyatakan harapan pertandingan itu akan dapat diadakan sebagai acara tahunan dan akan melibatkan pelajar-pelajar daripada pelbagai peringkat untuk memberikan mereka lebih banyak pendedahan serta mengetengahkan bakat-bakat seni anak tempatan.

 

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Virus Langya jangkiti 35 individu di China

BEIJING, 10 OGOS – Saintis-saintis telah mengesan virus baharu yang dikatakan berasal dari haiwan di timur China yang telah menjangkiti puluhan orang, lapor BBC...
- Advertisment -