Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Reka dulang lilin aromaterapi

    Oleh Amri HTZ

    Lilin pengharum ruangan atau lebih dikenali sebagai lilin aromaterapi merupakan suatu yang harus dimiliki bagi seseorang yang sukakan haruman dan mementingkan terapi diri.

    Para penggunanya pada kebiasaannya akan merasa lebih tenang dan tahap stres akan berkurang apabila menghidu bau minyak pati (essential) yang terkandung di dalam lilin digunakan.

    Selain itu, haruman yang dihasilkan pada kebiasaannya lebih lembut berbanding pengharum seperti peresap yang bagi sesetengah pemakainya terlalu kuat untuk dihidu.

    Untuk menempatkannya pada ruangan bersesuaian, perlunya kehadiran bekas berupa dulang yang juga mampu menghiasi ruangan tersebut.

    Penting untuk bersedia awal

    Sebelum memulakan langkah pembuatan dalam projek ini, terlebih dahulu pastikan awda memiliki barangan yang diperlukan seperti simen, acuan dulang berbentuk bujur, pita perekat, gunting atau pisau utiliti, air, cat akrilik, kertas pasir, pasir, alat penapis, bekas untuk mencampurkan simen, sebatang kayu sebagai alat mengaduk campuran, minyak terpakai dan berus cat dalam memastikan projek pembuatan tidak terganggu atau gagal.

    Dulang yang sudah siap boleh dihiaskan dengan lilin pengharum, bingkai gambar dan sebagainya yang sesuai dengan ruangan yang telah dipilih.
    Campuran yang telah merata kemudiannya akan dituangkan ke dalam acuan sehingga penuh.
    Aduk simen berserta campuran air mengikut perbandingan yang disarankan oleh pengilang.
    Acuan yang telah diisikan dengan simen perlu diletakkan pada permukaan rata ketika melalui masa mengering.
    Sudut permukaan yang tidak sempurna kemudiannya akan digosok menggunakan kertas pasir berukuran 400 grit.
    Langkah mengecat permukaan rekaan menggunakan berus mengikut warna kegemaran atau menyesuaikannya dengan tema hiasan ruangan.

    Mudahnya langkah rekaan

    Pada langkah awal pembuatan, acuan yang tersedia perlu disapukan dengan minyak pada bahagian dalamnya bagi memastikan campuran simen yang dituangkan dan mengering nanti tidak melekat pada permukaan. Jika simen melekat pada permukaan, ia agak sukar dilepaskan kecuali dengan cara mengetuknya atau memecahkan acuan.

    Jika acuan silikon yang khusus digunakan, langkah menyapukan minyak pada permukaan dalaman acuan tidak perlu dilakukan memandangkan acuan sedemikian mudah untuk ditanggalkan dan fleksibel.

    Jika acuan khusus tidak dimiliki atau sukar didapatkan, terdapat cara lain untuk memilikinya dengan cara merekanya menggunakan dua acuan daripada bekas berbentuk bujur. Salah satu acuan perlulah mempunyai bentuk yang mampu menampung campuran simen yang akan dituangkan nanti.

    Sementara itu satu lagi acuan diperlukan yang mempunyai bentuk lebih kecil daripada acuan sebelumnya. Acuan ini mempunyai fungsi untuk mereka ruangan yang melengkung untuk menempatkan barangan apabila ia mengering nanti. Bentuk acuan sebegini biasanya mirip bekas makanan yang digunakan untuk tapau. Kedua-dua bekas tersebut akan disatukan dengan cara meletakkan acuan lebih kecil pada bahagian dalam dengan permukaan utama menghala ke bawah dan bahagian bawah rekaan menghala ke atas.

    Selain itu, penggunaan kertas kadbod juga dapat menyelesaikan masalah mendapatkan acuan yang diperlukan. Dengan melakarnya pada permukaan kadbod kemudian memotongkan dan mencantumkan bentuk menggunakan pita perekat, akan memberikan bentuk acuan diperlukan.

    Sementara itu pasir yang disediakan perlu ditapis terlebih dahulu daripada sebarang objek asing sama ada berupa batu, rumput, ketulan pasir dan sebagainya. Jika objek-objek ini tidak diasingkan, rekaan yang mengering nanti berpotensi mempunyai permukaan yang tidak rata, berlubang mahupun mengandungi objek yang timbul pada permukaan yang setentunya menjejaskan rekaan.

    Tuangkan sedikit demi sedikit pasir ke dalam alat penapis di mana awda juga perlu memastikan pasir yang digunakan adalah dalam keadaan kering.

    Ini penting kerana pasir yang basah akan menyukarkan proses penapisan memandangkan ia akan menyumbat lubang-lubang kain penapis sekali gus menyukarkan keadaan. Untuk itu, gunakan pasir yang telah kering terutamanya berasal daripada permukaan atas. Selain itu, awda juga boleh mengeringkannya dengan cara menjemurnya langsung pada sinaran matahari. Perlu diingatkan, pasir yang dijemur dalam bekas perlu dalam keadaan tidak terlalu banyak atau tebal kerana ia akan melambatkan proses pengeringan.

    Selain mengasingkan objek asing yang terdapat dalam pasir yang digunakan, langkah menapis pasir adalah untuk mendapatkan pasir yang berukuran kecil atau halus. Menggunakan pasir yang halus penting bagi memastikan permukaan rekaan yang cukup halus dan rata.

    Pasir yang telah ditapis tadi kemudiannya akan dicampurkan dengan simen mengikut nisbah yang ditetapkan oleh syarikat pengeluarnya.

    Namun pada kebiasaannya, nisbah campuran yang universal digunakan ialah pada kadar satu berbanding empat, iaitu satu bahagian simen dan empat campuran pasir. Setelah mencampurkannya, aduk menggunakan kayu tersedia sehingga sebati.

    Bagi mengetahui ia sebati, perhatikan warna keseluruhan campuran di mana tidak terdapat warna asal pasir digunakan selain warna keseluruhan campuran tampak rata.

    Setelah itu masukkan air ke dalam campuran simen tersebut secara perlahan sambil mengadukannya sehinggalah campuran sebati dan pekat. Campuran tersebut kemudiannya akan dituangkan ke dalam acuan dengan perlahan-lahan sehingga memenuhinya.

    Bagi memastikan tidak terdapat udara terperangkap di dalamnya, ketuk perlahan secara berulang kali pada permukaan luar acuan sehingga terdapat buih berisi ingin timbul pada permukaan simen.

    Biarkan campuran simen mengering selama 24 jam sebelum meneruskan langkah meratakan permukaan rekaan.

    Campuran yang telah mengering kemudiannya akan dikeluarkan daripada acuan. Acuan daripada silikon merupakan langkah yang mudah untuk melepaskan acuan dengan hanya menanggalkannya memandangkan ia fleksibel.

    Manakala bagi acuan daripada bekas makanan dan kertas kadbod, awda boleh merosakkan acuan tersebut dengan cara memecahkan atau mengoyakkannya.

    Sudut permukaan rekaan yang kasar atau tidak sempurna kemudiannya akan digosok menggunakan kertas pasir. Gunakan kertas pasir berukuran 400 grit untuk melaksanakannya.

    Langkah ini agak senang dilakukan memandangkan simen berkenaan belum keras sepenuhnya oleh itu, gosok perlahan permukaan tersebut bagi memastikan permukaan lain tidak rosak.

    Bagi memastikan rekaan benar-benar keras dan mampu bertahan lama, rendam rekaan ke dalam bekas berisi air selama 24 jam.

    Setelah itu keringkan rekaan tanpa perlu menjemurnya secara langsung pada sinaran matahari.

    Untuk mengetahui ia telah mengering, permukaan simen akan berwarna kelabu keputihan pada keseluruhan permukaan. Pasti ia telah mengering, awda kini boleh memulakan proses mengecat permukaan simen dengan warna kesukaan.

    Berikan sekurang-kurangnya dua lapisan cat dengan setiap lapisan diberikan masa mengering lebih kurang 10 minit tertakluk kepada jenis cat digunakan.

    Setelah cat mengering, awda kini boleh mengisikannya dengan lilin pengharum, bingkai gambar, dan sebagainya sesuai dengan ruangan yang telah dipilih.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...